
Laporan dan foto: Wee Kim Been (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Komuniti 1 Malaysia To’ Kong, bersama Unit Tabung Darah Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu (HRPZII) berjaya melunaskan sejuta harapan masyarakat di luar sana dengan menjayakan Kempen Derma Darah peringkat Komuniti.
Menurut Pegawai Perubatan dari Unit Tabung darah HRPZII, Dr. Norsyahinaz Hassim, 29, amat berterima kasih kepada semua penderma kerana sambutan yang diterima cukup menggalakkan.
“Sambutan yang diterima begitu menggalakan daripada penduduk setempat, yang mana pada kali ini, sebanyak 34 beg darah telah dapat dikumpulkan dalam masa 3 jam,” jelasnya.
Manakala bagi Ooi Seng Shan, 52, baginya setiap kali kempen darah dilaksanakan, pastinya beliau tidak akan ketinggalan untuk sama-sama menderma.
“Dengan menderma darah, tubuh badan menjadi lebih sihat dan aktif,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Wee Caman 26, melalui platfrom sebeginilah beliau dapat membantu masyarakat yang memerlukan.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Parlimen Ketereh, Sabariah Hamzah, 57, menjelaskan aktiviti seumpama ini dapat mengeratkan silaturahim sesama insan, selain membentuk gaya hidup sihat. Inisiatif ini turut diusahakan dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daaerah Kota Bharu.