
Laporan dan foto oleh : Siti Yusmila Yusof
BALING, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Dalam usaha membantu semakin ramai pelajar dari daerah ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, seramai 111 daripada mereka hari ini menerima sumbangan komputer riba.
Sumbangan daripada Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim itu disampaikan sendiri oleh beliau bersama sumbangan bantuan pengajian kepada seramai 300 pelajar lain.
Pada majlis yang berlangsung di Dewan Kompleks Rakan Muda itu, Abdul Azeez turut menyampaikan sumbangan pakaian seragam sekolah kepada seramai 186 pelajar.
“Saya gembira kerana ramai anak Baling berjaya ke menara gading dari tahun ke tahun,” ujar beliau.
Abdul Azeez berharap sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan pelajar-pelajar dari Parlimen Baling.
Beliau menyifatkan bantuan yang diberikan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap keperluan pendidikan pada masa kini.
Di pihak penerima, penuntut Sains Veterinar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Laxmi Subramaniam, 23, melahirkan rasa gembira atas sumbangan komputer riba ini dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada pemimpin dan kerajaan.
Nur Dhia Damia Mohamad, 10 dari Sekolah Kebangsaan Binjul Dalam pula berkata, “saya amat gembira kerana menerima sumbangan pakaian sekolah yang baharu dan bersemangat untuk ke sekolah selepas cuti Tahun Baru Cina ini.”
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Harun Abdul Aziz, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Baling/Sik, Fakrurazi Abdul Majid, Ketua Puteri UMNO Bahagian Baling, Suriati Che Mid, Pengerusi Majlis Guru Besar Parlimen Baling, Mohd Razali Md.Isa dan Wakil UEM Group.