
Laporan dan foto : Erzufariza A/P Zulkifly
GUA MUSANG, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai lebih 500 pelajar daripada suku kaum Temiar, Jaha dan Batek di daerah Gua Musang terus menikmati kemudahan berulang-alik ke sekolah.
Kemudahan dikendalikan oleh Mohd Kamaruddin Awang yang diberikan kontrak menguruskan perkhidmatan itu oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sejak lebih tujuh dahulu.
Beliau berkata,“Perkhidmatan pengangkutan ini memudahkan masyarakat orang asli, terutama mereka yang berpendapatan rendah dan tidak mempunyai kenderaan untuk mengambil dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah di kawasan bandar.”
Yang menikmati perkhidmatan ini pelajar dari SMK Sungai Asap, SMK TIP2 dan SMK Seri Wangi, manakala kampung yang terlibat termasuk Pos Hendrop, Pos Tohoi, Pos Simpor, Pos Tuel, Pos Blau, Pos Depak, Kampung Langsat dan Kuala Betis.
Menurut Mohd Kamaruddin, pelajar berkumpul di Koperasi Kuala Betis dan kemudian dipecahkan mengikut kumpulan sebelum dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda ke kampung masing-masing di pedalaman.
Beliau memberitahu Malaysiaaktif, “Khidmat sebegini mampu membantu memudahkan masyarakat orang asli di kawasan pendalaman supaya tidak ketinggalan mengikuti arus pemodenan.”
“Ini merupakan inisiatif kerajaan yang sangat baik bagi masyarakat orang asli, selain memberikan peluang kepada pengusaha perkhidmatan berkenaan, ” tambannya lagi.
Pelajar Tingkatan 5 SMK Seri Wangi, Muhammad Aidil Azman, “Perkhidmatan ini memudahkan para pelajar, terutama pada musim cuti sekolah.”
Bagi Suhaida Angah, pelajar Tingkatan 5 SMK Sungai Asap,”Kemudahan ini menjimatkan perbelanjaan pergi dan balik untuk saya dan dua orang adik.”
Sejak mula disediakan, Mohd Kamaruddin telah meningkatkan keupayaan perkhidmatannya daripada penggunaan van kepada bas.