Skip to main content
HomeSabah

RM800 Ribu Baik Pulih Bumbung Pejalan Kaki Tan Fook

By 15 Februari 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan & Foto Oleh : Mohammad Abdul Rahman (Sabah)

 

 

PAPAR, SABAH, 14 Feb. (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlen mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM800 ribu bagi pembinaan baru bumbung pejalan kaki sepanjang 200 meter di Lorong Tan Fook.

Menurutnya, projek di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri itu akan mula dilaksanakan bermula pertengahan tahun hadapan sejurus mendapat nasihat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Majlis Daerah Papar.

“Cadangan tersebut merupakan hasrat masyarakat Cina, melalui Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Hua, Datuk Liew Siew Chin atas keprihatinan beliau terhadap kepentingan masyarakat di sini.

“Ini menunjukkan kerajaan serius dan ambil berat serta melaksanakan tanggungjawab penuh komitmen ke atas masyarakat Cina khasnya dan seluruh penduduk di daerah ini umumnya.

“Sehubungan itu, semangat muhibah, permuafakatan dan kerjasama antara dewan perniagaan dan kerajaan ini sewajarnya perlu dikekalkan agar kemajuan di daerah ini terus pesat membangun,”ujar Rosnah semasa merasmikan Program Pesta Tahun Baharu Cina Gong Xi Fa Chai Papar kali keempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Cheng Hwa pada selasa.

Huang Poh Lo (kiri) menghadiahkan tulisan kaligrafi beliau bermaksud "kemakmuran", kepada Rosnah (tengah, hadapan) disaksikan Liew (kanan, depan)

Huang Poh Lo (kiri) menghadiahkan tulisan kaligrafi beliau bermaksud “kemakmuran”, kepada Rosnah (tengah, hadapan) disaksikan Liew (kanan, depan)

Rosnah turut melahirkan rasa bangga terhadap keharmonian antara kaum yang wujud di daerah berkenaan dan berharap ia dapat dikekalkan demi kesinambungan generasi akan datang.

“Keharmonian ini perlu dipertahankan bagi menangkis rasa prejudis pada diri setiap individu agar ia tidak merosakkan semangat kejiranan yang terjalin sekian lama,” ujarnya.

Jelasnya lagi, program sambutan perayaan sebegini sememangnya telah menjadi tradisi masyarakat kita setiap tahun untuk raikannya bersama masyarakat dan pemimpin serta pelbagai persatuan di daerah ini.

“Walaupun berskala kecil namun ia merupakan ruang kesempatan untuk kita kunjung mengunjungi dan bersua muka bagi menjalinkan hubungan persahabatan.

“Saya berharap kita terus bekerjasama, berganding bahu demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” katanya lagi.

Pada program berkenaan Rosnah turut menyerahkan replika cek bernilai RM20 ribu kepada Liew selaku wakil masyarakat serta peniaga Cina Tiong Hua di daerah berkenaan.

Selain itu, turut diserahkan adalah bantuan angpau Papar Middle School kepada wakil yang hadir.

Sambutan penuh meriah dan gilang gemilang tersebut berjaya menarik lebih 1000 orang masyarakat hadir bersama memeriahkan program berkenaan selain dapat menyaksikan pelbagai persembahan seperti Tarian Singa, koir daripada pelajar Sekolah Kebangsaan St Joseph, artis tempatan, Tarian Kreatif Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Cheng Hwa dan Orkestra Alat Tradisi Muzik Cina dari Papar Middle School.

Rosnah menyerahkan kalendar kepada peniaga pasar malam CNY disini sempena program terbabit,

Rosnah menyerahkan kalendar kepada peniaga pasar malam CNY disini sempena program terbabit

Rosnah kemudiannya, bersama rombongan berkesempatan beramah mesra dan mengagihkan kalendar kepada orang ramai, peniaga pasar malam bersempena program berkenaan.

Hadir sama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Johnny Mositun; wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Juil Nuatim; Wakil ADUN Pantai Manis, Arshat Kahar; Pegawai Daerah, Adnan Atin; Ketua Polis Daerah, DSP Ladamah Sulaiman serta semua ketua masyarakat cina serta agensi kerajaan daerah.

 

-MRR

Tinggalkan komen anda