Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

KM Rasmi Prapelancaran INFRA Cawangan Sarawak

By 13 April 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad & Mahmut Sulaiman (Sarawak)

SAMARAHAN, 13 April (Malaysiaaktif) – Kampus Latihan Institut Kemajuan Desa (INFRA) Cawangan Sarawak, Kota Samarahan yang kedua selepas kampus utamnya di Bangi, Selangor telah disempurnakan prapelancarannya oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam.

Kampus Latihan INFRA Cawangan Sarawak merupakan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) yang menelan belanja berjumlah RM55.6 juta dan diluluskan pembinaanya pada tahun 2015.

Abang Johari (tengah) disambut meriah penuntut Kampus Latihan INFRA, di sini semalam.

Abang Johari (tengah) disambut meriah penuntut Kampus Latihan INFRA, di sini semalam.

Menurut Pengarah Cawangan Kerja Bangunan Am 2, Jabatan Kerja Raya Malaysia, Samini Haji Omar, Kampus latihan ini juga akan menjadi pejabat operasi dan pentadbiran kepada INFRA Cawangan Sarawak serta pejabat Kementerian Kemajunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Negeri Sarawak.

“Pembinaan Kampus INFRA, Cawangan Sarawak memberi peluang kepada kumpulan sasar terdiri daripada pemimpin akar umbi seperti Jawantankuasa Kemajuan Kampung (Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat) belia, wanita serta masyarakat luar bandar Sarawak mendapat latihan-latihan yang ditawarkan oleh INFRA secara berterusan.

“Di samping itu Kampus Latihan INFRA ini turut menawarkan latihan kepada usahawan luar bandar,” ujarnya.

Dengan pembinaan kampus ini, dijangka lebih banyak program latihan dapat ditawarkan kepada kumpulan sasar di peringkat yang lebih tinggi termasuklah program latihan di peringkat sijil yang diiktiraf dibawah Jabatan Pembangunan Kemahiran serta program di peringkat Diploma dengan kerjasama Universiti Awam.

Kampus Latihan Institut Kemajuan Desa (INFRA) Cawangan Sarawak.

Kampus Latihan Institut Kemajuan Desa (INFRA) Cawangan Sarawak.

Menurut Samini lagi, kampus ini akan turut menjadi pusat rujukan dalam bidang pembangunan dan penyelidikan luar bandar bagi Negeri Sarawak dengan menempatkan tenaga pengajar profesional dan kerjasama dengan pakar-pakar dalam bidang berkaitan pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan penduduk di luar bandar negeri Sarawak.

“Bangunan blok dua tingkat ini dapat memuatkan seramai 100 kakitangan INFRA Sarawak dan Pejabat KKLW Negeri Sarawak.

“Manakala Blok Akademik untuk fasiliti pembelajaran mempunyai auditorium dengan kapasiti 200 orang, tiga bilik kuliah dengan kapasiti 120 orang peserta dan tiga makmal komputer yang dapat memuatkan 60 orang peserta dalam satu masa,” tambahnya lagi.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utiliti, Datuk Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohammad Morshidi Abdul Ghani serta Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi.

– SH

Tinggalkan komen anda