
Laporan dan foto: Wan Noriza Wan Jaafar (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Program Jualan Murah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Dataran Peladang, di sini semalam mendapat sambutan menggalakkan penduduk tempatan.

Pengunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah sempena jualan murah di sini.
Pelbagai barangan keperluan harian seperti telur, beras, ayam dan ikan dijual dengan harga murah berbanding di pasar raya. Ayam proses dijual RM4.00 sekilo berbanding RM 6.50 sekilo di pasaran.
Bagi seorang suri rumah, Fatimah Dollah, 60, mengharapkan agar jualan murah seperti ini akan diadakan lagi di Gual Ipoh ini.
“Saya sanggup datang dari awal pagi lagi ke tempat jualan murah ini bagi mendapatkan barangan keperluan harian seperti telur dan ayam kerana harganya begitu rendah berbanding di tempat lain,” ujarnya.
Program jualan murah ini dirasmikan Pengerusi Ahli Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan, Datuk Haji Abdul Aziz Derashid, dan calon Dewan Undangan Negeri Gual Ipoh, Bakri Mustafa.