
Laporan dan foto: Siti Mariam Aziz Rashid (Sabah)
KOTA KINABALU, 12 Jul (Malaysiaaktif) -Majlis Sambutan Aidilfitri bukan sahaja meraikan hari kemenangan tetapi juga membuka luas peluang untuk merapatkan silaturrahim di kalangan pelajar dan rakan sekerja.
Pelajar dan kakitangan Politeknik Kota Kinabalu (PKK) tidak ketinggalan memanfaatkan kesempatan menyemarakkan jalinan perpaduan dalam kalangan warga kampus sempena Majlis Sorakan Aidilfitri PKK yang diadakan di dewan kampus tersebut pada Rabu.
Majlis kali ini yang berkonsepkan Piala Dunia 2018, dianjurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar PKK.
Ketua JHEP, Kapten Md. Syadiqin bin Awang Adi @ Jumaat ketika ditemui berkata, program kali ini melibatkan seramai lebih kurang seratus pelajar yang bertugas selaku ahli jawatankuasa pelaksana.
“Program ini merupakan serampang dua mata bagi pelajar kita, dimana program ini membantu untuk mendedahkan para pelajar dalam urusan penganjuran majlis.
“Pendedahan ini sekaligus bagi memenuhi keperluan subjek atau aktiviti ko-kurikulum mereka yang mana diambilkira dalam penilaian prestasi bagi sepanjang tempoh pengajian.
“Selain itu, majlis ini juga dapat mengeratkan hubungan dan silaturrahim dalam kalangan para pelajar, pensyarah dan staf sokongan akademik Politeknik Kota Kinabalu,” kata Syadiqin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur.
Pengarah PKK, Zainab Othman merasmikan majlis yang dihadiri hampir tiga ribu warga institusi tersebut terdiri daripada para pelajar, pensyarah dan staf sokongan akademik.
Selain 21 gerai makanan pelbagai menu disediakan, anggota Jabatan dan Unit di PKK, majlis itu turut dimeriahkan dengan Pertandingan Hiasan Gerai Paling Malatop, Pencarian Putera Puteri Aidilfitri Kategori Pelajar dan Pensyarah, serta Persembahan Pelajar dan Staf.
Turut hadir pada majlis tersebut, barisan Ahli Mesyuarat Pengurusan PKK, Pengarah Politeknik Tawau, Haji Ulaimi Yahya; Pengarah Kolej Komuniti Penampang, Norhasimah binti Kassim serta Pensyarah Kanan PKK.
-MRR