
Laporan dan foto oleh: Siti Mariam Aziz Rashid(Sabah)
KOTA KINABALU, 12 Jul (Malaysiaaktif)-
Pengarah Politeknik Kota Kinabalu(PKK), Zainab Othman berkata, penyediaan tempat belajar yang kondusif serta selamat adalah keutamaan tertinggi yang perlu dititikberatkan bagi para pelajar dan warga PKK.
Justeru, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, Tuan Nordin Pauzi di pejabatnya pada Selasa lalu.
Kunjungan tersebut antara lain bertujuan untuk menjalin kerjasama di antara
PKK dan Bomba dalam pelbagai aspek, antaranya khidmat nasihat prosedur keselamatan bangunan kampus PKK khususnya.
“PKK sedang dalam proses penempatan semula Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti yang kini beroperasi di Pekan Telipok, ke bangunan baharu berhampiran dengan kampus utama PKK di Sepanggar.
“Kita telah menerima beberapa buah bangunan melibatkan tiga blok bangunan
baharu tiga tingkat, berhampiran dengan kampus utama PKK yang akan
menempatkan lebih 200 pelajar pengajian program Pelancongan dan Hospitaliti.
“Manakala sebuah bangunan enam tingkat merupakan pejabat para pensyarah bagi beberapa jabatan akademik, iaitu Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Jabatan Perdagangan dan Jabatan Matematik, Sains dan Komputer,” kata Zainab.
Menurutnya, proses perpindahan ke bangunan baharu perlu disegerakan memandangkan kuliah bagi Sesi Jun 2018 telah pun bermula sejak awal Julai lalu.
Tambahnya juga, urusan perpindahan kelengkapan akademik berkaitan ke
bangunan baharu akan dilaksanakan secara berperingkat, dan dijangka selesai
dalam bulan Ogos, tertakluk kepada pematuhan prosedur keselamatan yang
ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Turut hadir pada kunjungan tersebut, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik
PKK, Mohd. Sahran Mohiddin; Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan
Kebakaran, PgKB Jemros Ollin dan Pegawai Perakuan Bangunan, PgB Hussein Abdul serta Pegawai Perhubungan Awam PKK, Siti Mariam Aziz Rashid.
– MRR