Skip to main content
Berita TempatanKedah

Belia Perlu Zahirkan Rasa Cinta Pada Negara

By 26 Ogos 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan Foto Oleh : Fasharina Kholil dan Rasidi Che Sa(Sik)

SIK, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Hampir 300 orang terdiri daripada pelajar institut latihan kemahiran sekitar Sik terlibat dalam menjayakan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Daerah Sik 2018 yang berlangsung di Dewan Budi Gemilang, Kolej KEDA, di sini baru-baru ini.

Pertandingan yang diadakan bersempena dengan Sambutan Bulan Kebangsaan 2018 ini telah disempurnakan oleh Pegawai Penerangan Daerah Sik, Ramli Md Rus yang mewakili Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kedah.

Ramli dalam ucapannya berharap agar generasi muda menghargai serta menghayati pengorbanan dan jasa pemimpin terdahulu dalam mempertahankan tanah air tercinta.

WhatsApp Image 2018-08-26 at 12.31.36 PM

“Golongan belia merupakan aset negara dan program berteraskan kenegaraan bagi memupuk semangat cintakan negara merupakan langkah terbaik bagi memperkasakan golongan belia sebagai aset dan bagi meneruskan kesinambungan pembangunan negara pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Pengetua Kolej KEDA, Abdul Rahman Abdul Khalek, mengajak golongan belia menzahirkan rasa cinta pada tanah air dengan cara yang betul.

“Semangat cinta negara perlu dididik serta disemai sejak kecil lagi dan disuburkan dalam jiwa rakyat secara berterusan. Rasa cintakan negara akan menjadikan setiap rakyat khususnya golongan belia merasa tanggungjawab bagi memajukan negara dalam pelbagai bidang sama ada sosial, ekonomi, politik, agama ataupun pendidikan,” katanya lagi.

Empat kumpulan yang mengambil bahagian dalam pertandingan anjuran bersama Jabatan Penerangan Daerah Sik dan Kolej KEDA ini adalah daripada Kolej KEDA, Kolej Komuniti Sik dan IKM Sik.

WhatsApp Image 2018-08-26 at 12.31.36 PM (2)

Sementara itu, kumpulan JIWA daripada IKM Sik muncul sebagai johan di dalam pertandingan ini dengan membawa pulang wang tunai RM300, piala iringan serta sijil penyertaan.

Tinggalkan komen anda