Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

YADIM Sabah Lancarkan Misi Sayang Semporna

By 2 Ogos 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan oleh: Fauzrina Bulka/Foto: Azman Jumat(Sabah)

 

KOTA KINABALU – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia(YADIM) Zon Sabah telah melancarkan Program Konvoi Khidmat Komuniti ‘Misi Sayang Semporna’ di Hotel Tabung Haji, pada Rabu.

Pengarahnya, Samin Ongki berkata, misi tersebut sebagai bukti inisiatif untuk menyatakan ingatan dan kasih sayang kepada mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Air, Semporna.

Pengerusi YADIM Zon Sabah, Samin Ongki.

Pengarah YADIM Zon Sabah, Samin Ongki.

“Kebakaran tersebut difahamkan telah memusnahkan lebih daripada 300 buah rumah dan lebih daripada 2000 orang telah kehilangan tempat tinggal.

“Jadi kami mahu menjadikan misi ini suatu jambatan atau kemudahan bagi masyarakat Pantai Barat Sabah untuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk-penduduk Semporna yang agak jauh,”jelasnya.

Menurutnya, sebanyak 10 buah masjid di sekitar bandar raya ini telah ditetapkan untuk dijadikan pusat pengumpulan sumbangan antaranya Masjid RTM Sabah, Masjid UMS, Masjid Jamek Pekan Menggatal, Masjid Bandaraya KK (MBKK) dan Masjid Daerah Putatan.

Lima buah masjid lagi yang turut terpilih ialah Masjid Al-Fattah IPD Penampang, Masjid Nurul Islam IPK Kepayan, Masjid Al- Kauthar Tanjung Aru, Masjid Jamek Kampung Sembulan dan Masjid Nurul Iman, Taman Pantai Lok Kawi.

Selain itu, tiga Pusat Pengumpulan Sumbangan juga disediakan di Pejabat YADIM Zon Sabah, Pejabat JHEINS KK dan Kaunter Hotel Tabung Haji.

Mengulas lanjut, Samin berkata bahawa semua sumbangan tersebut akan dibawa secara berkonvoi sebanyak 10 kenderaan pada pagi Sabtu akan datang, dan mendapat kerjasama padu daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).

Samin ketika ditemuramah pemberita sambil ditemani oleh Datuk Ab Jamal (kiri) dan Supt Mohamed(Kanan)

Samin ketika ditemuramah pemberita sambil ditemani oleh Datuk Ab Jamal (kiri) dan Supt Mohamed(Kanan)

“Kami akan bergerak seawal 7 pagi dari Masjid Bandaraya dan dijangka tiba di Pusat Penempatan Sementara mangsa kebakaran di daerah Semporna pada sebelah malam.

“Kami akan sampaikan terus semua sumbangan pada malam itu juga bersama Pegawai Daerah Semporna selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Semporna,”ujarnya.

Tambahnya, Mereka menyasarkan akan membawa wang tunai sebanyak RM30,000 dan bahan-bahan sumbangan bernilai tidak kurang daripada RM20,000.

“Sukacita dimaklumkan misi ini telah menerima sumbangan pertama daripada MBKK sebanyak RM5,000 sementara YADIM sendiri sebanyak RM3,000.

“Baki untuk mencapai sasaran RM30,000 perlu dicapai dalam tempoh 2 hari ini termasuk sumbangan daripada jemaah masjid pada hari Jumaat ini.

Keadaan ketika sidang media.

Keadaan ketika sidang media.

“Mengikut pengalaman yang lepas, kami boleh mencapai sasaran terutama sekali berupa barangan keperluan harian untuk mangsa.

“Sebelum ini kami juga pernah lakukan misi seperti ini di luar negara seperti ke Acheh, Kemboja dan Rohingya,”kata Samin.

Turut hadir, Pengerusi Masjid Bandaraya KK, Datuk Ab Jamal Tun Sakaran; Pengurus TH Hotel, Nassarudin Naina Mohamed; Wakil PDRM, Supt Mohamed Hashim Kamarudin dan wakil ATM, Mohd Ariff Abdullah Suhaimi.

 

 

-MRR

Tinggalkan komen anda