
Laporan dan Foto Oleh : Fasharina Kholil dan Rasidi Che Sa
SIK, 11 Sept (Malaysiaaktif) – Upacara pengambilan air mata air sempena Istiadat Letak Kerja dan Siram Tabal Pertabalan Sultan Kedah Ke-29, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah peringkat daerah Sik disempurnakan di Lata Embun, Hutan Simpan Teloi, di sini, Rabu lalu.
Upacara penuh istiadat itu diketuai oleh Pegawai Daerah Sik, Datuk Hj Bukhari Abdullah dengan kehadiran Penghulu-Penghulu Mukim daerah ini bersama ketua-ketua jabatan.
Acara dimulakan dengan laungan azan oleh Yang DiPertua Persatuan Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Kedah (Cawangan Sik) merangkap Pembantu Imam (Bilal) Masjid Al-Falah, Kariah Kg. Betong, Tuan Hj Said Awang Kecik di Perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Sik dan seterusnya rombongan bertolak ke Lata Embun bagi menyempurnakan istiadat pengambilan air mata air.
Majlis yang bermula seawal jam 8.30 pagi ini berlangsung dalam keadaan penuh adat istiadat dan yang lebih menarik apabila para petugas berpakaian lengkap persis hulubalang serta dayang di zaman silam.
Setelah air yang diambil itu mencukupi dan dimasukkan ke dalam bekas yang dinamakan batil diraja, ia akan dibawa pulang ke istana untuk majlis yang seterusnya.
Acara pengambilan air ini diadakan bersempena dengan Istiadat Pertabalan Sultan Sallehuddin sebagai Sultan Kedah Ke-29 di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 22 Oktober ini.