Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurPutrajaya

Kerajaan Pandang Serius Isu Yang Boleh Gugat Perpaduan Rakyat Berbilang Kaum

By 26 Disember 2018Mei 7th, 2019Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Malaysiaakatif) – Tindakan tegas kerajaan dan polis dalam menyelesaikan isu Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, pada 26 dan 27 Nov lepas membuktikan tiada kompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memecah-belahkan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

Pada 29 Nov, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu pembentangan khas di Dewan Rakyat menegaskan kerajaan akan memastikan keharmonian dan keamanan negara tidak diperlekehkan oleh sesiapa.

Perdana menteri memberi amaran kerajaan tidak akan bertolak ansur dan akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada untuk memastikan perpaduan terjamin.

“Jika ada pihak yang melanggar undang-undang untuk kepentingan diri mereka sahaja, maka kerajaan yang mendukung prinsip ‘rule of law’, juga akan bertindak berdasarkan undang-undang,” katanya.

Pada hari yang sama, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyiasat insiden rusuhan itu.

Gabungan pasukan dari Bukit Aman dan kontinjen polis Selangor di bawah ‘Op Seafield’ itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada 4 Dis berkata mana-mana pihak boleh mengemukakan cadangan masing-masing bagi menyelesaikan isu perpindahan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya dekat sini, namun penyelesaian itu harus bersifat mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata sebagai ‘orang tengah’, kerajaan negeri akan mencari penyelesaian terbaik terhadap isu itu dan memastikan semua pihak terlibat berpuas hati dengan keputusan yang dicapai.

Sebelum itu, beliau berkata kerajaan negeri Selangor juga memberi jaminan tidak akan memindahkan atau merobohkan kuil berkenaan sehingga penyelesaian menyeluruh dicapai.

Pada 2 Dis, ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dilapor telah memulakan kempen mengumpul dana bagi membeli tanah yang menempatkan kuil itu dan yakin pemilik tanah itu akan memberi kerjasama penuh terhadap usahanya itu.

Setakat 6 Dis, polis telah menahan 102 individu untuk siasatan berhubung kekecohan di kuil yang tercetus pada kira-kira pukul 2.30 pagi Isnin itu yang turut menyaksikan seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, cedera parah dipercayai akibat dipukul perusuh.

Bagaimanapun, setelah dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) selamat 21 hari, Muhammad Adib meninggal dunia pada 9.41 malam 17 Dis selepas keadaan kesihatannya terus merosot dan kritikal. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda