Skip to main content
Berita TempatanHomePerakPutrajaya

Sultan Nazrin Lantang Tegur Pemimpin

By 26 Disember 2018Tiada komen3 minit bacaan

IPOH, 26 Dis (Malaysiaaktif) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah merupakan antara Raja yang terkenal dengan kelantangan menegur pemimpin yang tidak amanah, menyeleweng dan cuai dalam tugas hingga menyusahkan rakyat jelata.

Raja yang mempunyai daya intelektual dan budi pekerti yang tinggi ini sentiasa menunjukkan keprihatinan mendalam terhadap nasib dan masa depan rakyat dan negara.

Pada 2 Nov lalu, baginda selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong menandatangani pengisytiharan menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong bila penyandang Sultan Muhammad V beristirahat menjalani rawatan.

Beberapa hari selepas itu, ketika berangkat ke sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, baginda ‘menjentik’ para pemimpin apabila menegur golongan yang tidak amanah dan berintegriti hingga mengakibatkan ummah berada dalam sengsara.

Sultan Nazrin, 62, yang berkelulusan ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat tidak pernah jemu memberikan nasihat serta mencetuskan pelbagai idea baru untuk kesejahteraan masyarakat dan negara.

Ketinggian daya intelektual baginda cukup terserlah apabila titah baginda memberi pencerahan terhadap pelbagai kemelut yang dihadapi masyarakat dalam bidang ekonomi, pendidikan dan politik.

Baginda bertitah kemiskinan ummah akan bertambah buruk apabila pemimpin lebih mengutamakan agenda peribadi membina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak ummah melalui kaedah yang meragukan.

Teguran baginda terhadap pemimpin tidak terhenti di situ saja, pada 1 Dis lalu Sultan Nazrin dengan lantang bertitah mengingatkan pemimpin agar tidak menjadi dalang melakukan provokasi yang boleh menyalakan bara kebencian dan permusuhan antara rakyat berbilang kaum dan agama.

Baginda turut menzahirkan rasa dukacita kerana suasana harmoni yang menjadi budaya rakyat negara ini sejak sekian lama kini mahu dimusnahkan disebabkan persaingan politik.

“Terdapat sebahagian pemimpin politik yang memilih bersifat riak dengan kemenangan, sementara sebahagian yang kalah bersifat berdendam.

“Pihak yang menang hendaklah mengamalkan budaya terpuji merendah diri, sementara yang tewas mengamalkan budaya menerima penentuan Ilahi secara terhormat,” titah Sultan Nazrin pada Istiadat Konvokensyen ke-11 Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar.

Sebagai seorang yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk bangsanya, baru-baru ini Sultan Nazrin menzahirkan kekecewaan terhadap sikap orang Melayu yang dilihat beransur-ansur lemah, hilang semangat ukhuwah dan jati diri akibat bersaing merebut kuasa.

Titah baginda, orang Melayu telah terperangkap dalam perlumbaan menconteng arang sesama mereka sehingga ma­sing-masing ghairah menepuk air di dulang dan akhirnya terpercik ke muka sendiri.

Bersikap ambil peduli terhadap semua perkara, Sultan Nazrin turut mengikuti perkembangan politik tanah air terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan pertukaran tampuk pentadbiran negara daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).

Pada istiadat angkat sumpah Menteri Besar Perak 12 Mei lalu, baginda menegur pemimpin dengan bertitah agar semua wakil rakyat yang dipilih pada PRU14 menghormati keputusan dan menghargai kepercayaan rakyat terhadap mereka.

Baginda bertitah wakil rakyat yang dipilih perlu mengabdikan diri untuk berkhidmat kepada orang yang memilih mereka dan ia merupakan amanah baharu.

Keprihatinan baginda terhadap PRU14 menjangkau segenap aspek apabila dalam ucaptama pada Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) 2018 Julai lalu baginda bertitah bahawa perubahan itu adalah kerana rakyat membawa perubahan politik besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menerusi peti undi.

Malah, baginda mahu golongan muda sebagai aset negara dan pemacu perubahan diperkasa selain dilibatkan secara aktif dalam proses membuat keputusan hari ini.

Kata-kata, teguran yang dilontarkan oleh Sultan Nazrin memang sering mendapat tempat di muka hadapan akhbar, berita utama di televisyen, malah sering dikongsi oleh netizen di media sosial. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda