Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Sambutan Krismas Di Sarawak Contoh Terbaik Toleransi Antara Kaum

By 26 Disember 2018Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

MUKAH, 26 Dis (Malaysiaaktif) – Pada setiap tahun perayaan Hari Krismas di Mukah disambut dengan penuh meriah oleh masyarakat Melanau yang beragama Kristian. Uniknya pula masyarakat Melanau Islam turut merasai kemeriahan tersebut sekiranya mereka mempunyai sanak saudara beragama Kristian yang merainya. Budaya saling kunjung-mengunjung dalam kalangan kaum Melanau Mukah masih kekal diamalkan sehingga ke hari ini dan benar-benar unik dengan kepelbagaian etnik yang hidup dalam suasana harmoni, aman dan damai.

Berdasarkan statistik, jumlah kaum Melanau Islam dan Kristian di Mukah lebih kurang seimbang. Pertalian saudara dalam kalangan kaum Melanau ini masih kekal utuh walaupun berbeza fahaman agama. Mereka sentiasa saling bekerjasama dan memahami amalan agama, budaya dan pegangan masing-masing. Inilah keunikan yang terdapat dalam masyarakat Melanau Mukah yang mana sebahagian daripada masyarakat lain yang berada  di luar lingkungan zon Melanau tidak mengetahuinya.

Sebuah keluarga Melanau Kristian bersama anak-anak yang memeluk Islam meraikan Hari Krismas.

Sebuah keluarga Melanau Kristian bersama anak-anak yang memeluk Islam meraikan Hari Krismas.

Oleh kerana perayaan Krismas dirai pada musim cuti persekolahan, maka kemeriahan amat dirasai di kawasan Mukah. Kebanyakkan penduduk Mukah yang bekerja di luar Mukah balik ke kampung halaman untuk melawat saudara-mara dan merai bersama keluarga. Bagi mereka yang sudah memeluk Islam juga turut balik ke kampung untuk merai bersama keluarga asal mereka.

Amalan bekerjasama, kunjung mengunjung bukan sahaja pada musim perayaan tetapi juga semasa kenduri perkahwinan dan kematian sama ada di pihak Melanau Islam ataupun Kristian. Hubungan mesra antara masyarakat Melanau Islam dan Kristian telah menjadi rukun yang mampu menyemai dan memupuk benih-benih  mulia dalam kalangan setiap generasi.

Masyarakat Melanau Islam dan berketurunan Cina berkunjung ke rumah saudara mereka yang beragama Kristian

Masyarakat Melanau Islam dan berketurunan Cina berkunjung ke rumah saudara mereka yang beragama Kristian

Keunikan hidup bermasyarakat dalam kalangan kaum Melanau ini menjadi buah mulut orang luar terutama dalam kalangan kaum-kaum lain di Sarawak termasuk mereka yang datang dari semenanjung Malaysia.

Terdapat juga kekeliruan dalam kalangan orang luar tentang identiti dan bahasa masyarakat Melanau Mukah.  Mereka mempunyai bahasa dan identiti pengenalan diri seperti di dalam kad pengenalan menggunakan perkataan ‘bin’ dan ‘binti’. Malah dalam rumah yang beragama Kristian, terdapat juga penghuninya  yang beragama Islam. Hanya mereka yang arif dan menetap di Mukah sahaja boleh membezakan seseorang itu penganut Islam atau Kristian.

Walaupun dalam sesebuah kampung yang majoritinya Kristian mahupun Islam namun terdapat juga keluarga minoriti antara agama ini yang tinggal. Terdapat juga beberapa buah kampung di mana jumlah penghuni yang beragama Islam dan Kristian hampir seimbang. Keunikan budaya dan agama ini menjadi kekuatan kepada hubungan  masyarakat Melanau.

Misa Hari Krismas di Gereja St Peter & St Paul di Mukah dihadiri oleh masyarakat Melanau Kristian, berketurunan Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Cina

Misa Hari Krismas di Gereja St Peter & St Paul di Mukah dihadiri oleh masyarakat Melanau Kristian, berketurunan Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Cina

Perbezaan agama dalam masyarakat Melanau di Mukah bukan penghalang kepada hubungan akrab dan harmoni.  Ikatan kekeluargaan ini telah menjadi amalan turun-temurun masyarakat Melanau yang berlainan agama telah menyemarakkan semangat bekerjasama dan saling mendukung yang terjalin sejak sekian lama.

-ER

Tinggalkan komen anda