Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Tiada tempat untuk kebencian agama di negara ini – Dr Wan Azizah

By 26 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PETALING JAYA, 26 Dis (Malaysiaaktif) – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tidak ada tempat untuk kebencian agama di negara ini dan, sebagai pihak berkepentingan, rakyat Malaysia harus menjaga negara ini yang menjadi “tanah tumpahnya darahku” dengan sebaik-baik kemampuan mereka.

Justeru, timbalan perdana menteri berkata kerajaan tida akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menggugat keamanan dan keharmonian negara.

“Berita palsu, mesej yang mengapi-apikan dan mesej yang membangkitkan kebencian agama tidak mempunyai tempat dalam Malaysia Baharu,” kata beliau pada majlis minum teh sempena Hari Krismas di Luther Centre di sini, hari ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia telah meletakkan kepercayaan mereka kepada kerajaan baharu untuk membawa negara ini ke era baharu keadilan yang lebih terjamin dan kemakmuran ekonomi.

“Saya ingin memberi jaminan kepada anda bahawa kita akan melakukan segala-galanya mengikut kuasa yang ada pada kita bagi merealisasikan semangat Malaysia Baharu,” kata Dr Wan Azizah.

Dr Wan Azizah berkata pada dasarnya, semua rakyat Malaysia mempunyai nilai-nilai kasih-sayang yang mengukuhkan persefahaman bersama, saling menghormati dan keharmonian antara satu sama lain.

Perpaduan, keakraban dan persahabatan di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan etnik adalah satu daripada kekuatan Malaysia,” kata beliau pada majlis itu yang turut dihadiri Menteri Industri Utama Teresa Kok dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Dr Wan Azizah berkata yang paling indah mengenai mengenai perayaan agama di Malaysia ialah orang ramai akan mengadakan rumah terbuka untuk rakan-rakan dan jiran, mengukuhkan persahabatan dan melakar kenangan yang berkekalan.

“Kebebasan beragama di negara ini dapat diperlihatkan secara terbaik apabila orang ramai datang untuk meraikan secara bersama perayaan keagamanan satu sama lain,” kata beliau dan menambah setiap agama di negara ini mengutamakan nilai-nilai kasih-sayag, keamanan dan muhibah di kalangan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk terus mengukuhkan ruang untuk saling menghormati, perkongsian dan keharmonian.

“Marilah kita menunjukkan kepada dunia bahawa perpaduan dalam kepelbagaian adalah salah satu mercutanda Malaysia,” kata Dr Wan Azizah ketika menyampaikan ucapan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama-sama menteri kabinet yang lain kepada semua pemimpin geraja dan masyarakat di negara ini yang beragama Kristian.

Majlis itu dianjurkan oleh Persekutuan Kristian Malaysia, Majlis Gereja-Gereja Malaysia dan pihak-pihak berkaitan. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda