Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

MBOR Iktiraf Politeknik KK, MSIEA – Peserta Kursus Paling Ramai

By 22 Januari 2019Tiada komen3 minit bacaan
 Laporan/foto: Siti Mariam Aziz Rashid (Kota Kinabalu)

Kota Kinabalu, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Politeknik Kota Kinabalu (PKK) mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan paling ramai bagi Kursus Asas Kejuruteraan Dandang (Boiler) yang diadakan di kampusnya.

Kursus anjuran bersama Malaysia Steam and Internal Combustion Engine Engineer Association (MSIEA) pada sabtu itu berjaya menarik seramai 1098 penyertaan sekaligus layak mendapat pengiktirafan daripada MBOR.

Para peserta yang hadir Kursus Asas Kejuruteraan Dandang(Boiler)

Para peserta yang hadir Kursus Asas Kejuruteraan Dandang(Boiler)

Penyerahan sijil MBOR disempurnakan oleh wakil MBOR, Nurul Syahirah Mohd. Yusof pada majlis penutup kursus tersebut.

Pengarah PKK, Ts. Zainab Othman berkata sambutan penyertaan kursus adalah sangat memberangsangkan dan di luar jangkaan, memandangkan sasaran awal yang ditetapkan adalah seramai 1,000 orang.

Zainab menyampaikan cenderamata kepada Muhammad Salahuddin sambil disaksikan oleh Mohd Sahran (kanan), Norhanom (dua kiri) dan Nurul Syahirah(kiri)

Zainab menyampaikan cenderamata kepada Muhammad Salahuddin sambil disaksikan oleh Mohd Sahran (kanan), Norhanom (dua kiri) dan Nurul Syahirah (kiri)

“Kami menjangkakan 1,000 peserta pada awalnya, tetapi yang telah mendaftar secara atas talian adalah seramai 1,151 orang.

“Alhamdulillah, kita mendapat pengiktirafan MBOR berdasarkan kehadiran sebenar pada hari ini iaitu seramai 1098 orang,” kata Zainab.

Tambah beliau, penganjuran kursus ini adalah antara aktiviti yang dibuat sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Politeknik Malaysia pada tahun ini.

Muhammad Salahuddin menerima Sijil MBOR daripada Nurul Syahirah sambil disaksikan oleh Zainab (tengah), Norhanom(kiri) dan Mohd. Sahran (kanan)

Muhammad Salahuddin menerima Sijil MBOR daripada Nurul Syahirah sambil disaksikan oleh Zainab (tengah), Norhanom (kiri) dan Mohd. Sahran (kanan)

“Pengiktirafan yang diterima daripada MBOR ini sudah pasti adalah hadiah istimewa bagi warga Politeknik Kota Kinabalu khususnya bersempena dengan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Politeknik Malaysia,“ tambahnya lagi.

Para peserta yang hadir terdiri daripada masyarakat setempat di sekitar Kota Kinabalu, kakitangan dan pelajar PKK, pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi berdekatan seperti Kolej Vokasional Likas dan Institut Latihan Perindustrian, serta kakitangan syarikat dan industri berhampiran seperti Sabah Electricity Board Sdn Bhd dan Ranhill Powerton Berhad.

Kursus sehari ini disampaikan oleh Setiausaha Kehormat MSIEA, Muhammad Salahuddin Abdul Majid.

Zainab dan Muhammad Salahuddin bertukar Sijil Kolaborasi yang ditandangani, sambil disaksikan oleh (dari kanan) Ir Azriman; Mohd Sahran, Norhanom, Nurul Syahirah dan Abd Razak

Zainab dan Muhammad Salahuddin bertukar Sijil Kolaborasi yang ditandangani, sambil disaksikan oleh (dari kanan) Ir Azriman, Mohd Sahran, Norhanom, Nurul Syahirah dan Abd Razak

Antara matlamat kursus adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam pengendalian dan pengoperasian dandang di samping pengendalian keselamatan dan penyelenggaraan peralatan berkaitan.

Kursus ini juga adalah lebih kepada perkongsian maklumat dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat tidak mengira latar belakang akademik masing-masing.

Seterusnya ia bertindak sebagai platform untuk para peserta yang berminat untuk melanjutkan pengajian dalam mendapatkan sijil kemahiran khusus dalam bidang kejuruteraan dandang.

Sementara itu salah seorang peserta, Ahmad Daniel, 19, berkata kursus asas itu membantu memberi kefahaman yang lebih jelas terhadap pengurusan dandang dan beliau menyambut baik keseluruhan penganjuran kursus tersebut.

Ahmad Daniel (duduk kanan) bersama rakan-rakannya Muhammad Faizun (berdiri) dan Muhammad Aizlan dari Kolej Vokasional Likas

Ahmad Daniel (duduk kanan) bersama rakan-rakannya Muhammad Faizun (berdiri) dan Muhammad Aizlan dari Kolej Vokasional Likas

“Walaupun bidang saya adalah kejuruteraan automatif, tetapi ia dapat memberi gambaran jelas tentang asas pengurusan dandang yang juga termasuk dalam pembelajaran kami,“ kata pelajar daripada Kolej Vokasional Likas itu.

Tambahnya lagi, mereka rasa bertuah kerana berpeluang menghadiri kursus yang dikendalikan oleh penceramah yang cukup hebat dan memang terkenal dalam dunia kejuruteraan dandang di Malaysia.

Majlis penutupan kursus pada sebelah petang turut menyaksikan Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi di antara PKK dan MSIEA yang disempurnakan oleh Zainab dan Muhammad Salahuddin, sambil disaksikan oleh pengurusan tertinggi kedua institusi.

Turut hadir ahli pengurusan PKK terdiri daripada Timbalan Pengarah Akademik, Norhanom Awang; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Mohd. Sahran Mohiddin; Ketua Jabatan Mekanikal, Abd. Razak Daim; Ketua CISEC, Ts. Ir. Azriman Mat Ali serta staf dan pensyarah daripada semua jabatan akademik.

EM

Tinggalkan komen anda