
Laporan/ foto : Pai Syahira Yahya
KUANTAN, 30 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan Cuti Peristiwa pada hari esok, 31 Januari 2019 bersamaan 25 Jamadilawal 1440 Hijrah bagi seluruh rakyat Pahang Darul Makmur .
Cuti tersebut bersempena Istiadat Melafaz dan menanda tangani surat sumpah jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke 16 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cuti peristiwa itu diputuskan memandangkan esok adalah tarikh yang bersejarah kepada negeri dan seluruh rakyat atas pelantikan itu.
Kali terakhir cuti peristiwa sempena pertabalan Yang DiPertuan Agong adalah 40 tahun lalu apabila Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mua’dzam ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Yang ke 7 untuk tempoh lima tahun bermula 26 April 1979 hingga 25 April 1984.
Sehubungan itu, warga Pahang dijemput hadir beramai-ramai ke Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan bermula 7.00 pagi esok bersempena dengan istiadat memuliakan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang ke Kuala Lumpur.