Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Sedia Luluskan Pembangunan Kuil Batu Caves Jika Permohonan Lengkap – Amirudin

By 21 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang

GOMBAK, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyatakan pihaknya tiada sebarang halangan untuk memberi kelulusan pelan pembangunan di kawasan Kuil Batu Caves sekiranya segala dokumen yang lengkap disertakan.

“Saya bersedia untuk melihat kembali, kalau ada yang telah lulus dan lengkap segala permohonan, saya tidak ada masalah (luluskan). Sekiranya terdapat sedikit masalah lagi, mereka harus memenuhinya.

“Ia bukan isu peribadi, yang penting selagi mereka memenuhi segala keperluan dan kehendak dalam peraturan bangunan, kita akan beri kelulusan,” katanya.

Amirudin berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas ucapan Pengerusi Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves yang mengesa kerajaan negeri Selangor meluluskan permohonan beberapa projek pembangunan kuil yang tertangguh.

Projek tersebut adalah pembinaan kereta kabel sepanjang 250 meter, pusat kebudayaan dan pusat dialisis di Batu Caves.

Jelas Amirudin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, sebelum ini terdapat sebahagian bangunan di kawasan kuil tersebut dibina terlebih dahulu sebelum mendapat kelulusan.

“Terdapat sebahagian bangunan yang ada di sini telah dibina terlebih dahulu dan selepas itu baru dibuat permohonan. Itu yang saya dimaklumkan,” katanya.

Kerajaan Selangor sedia luluskan permohonan pembangunan Kuil Batu Caves sekiranya lengkap - Amirudin Shari

Kerajaan Selangor sedia luluskan permohonan pembangunan Kuil Batu Caves sekiranya lengkap – Amirudin Shari

Sebelum itu, Pengerusi kuil, Tan Sri R.Nadaraja dalam ucapannya memohon agar kerajaan Selangor meluluskan permohonan pembangunan di kawasan tersebut yang tertangguh beberapa tahun lalu.

“Kuil Batu Caves adalah ikon dunia sebagai tempat pelancongan, tetapi saya sedih kerana pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tidak meluluskan projek ini.

“Kita bukan memohon bantuan dana kewangan tetapi hanya kelulusan projek ini,” katanya.

Tambah Nadaraja, pihaknya bersedia berbincang menyelesaikan isu tersebut dan tidak mahu ianya berlarutan hingga melibatkan saman di mahkamah.

“Kita tidak mahu perkara ini dibawa sampai ke mahkamah sehingga menyaman kerajaan negeri. Kita boleh berbincang bersama terhadap perkara ini,” ujarnya.

Pada Jun 2016, MPS mengeluarkan arahan memberhentikan pembinaan kerana beberapa struktur di sekitar Batu Caves dikatakan dibina tanpa kelulusan.

Arahan tersebut berdasarkan laporan bahawa terdapat beberapa kawasan di sekitar kuil didapati tidak stabil.

-NAZ

Tinggalkan komen anda