Skip to main content
HomeJohor

Sultan Johor Rasmi Karnival Johor Jaya 2019

By 27 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Mohd Zahid Othman/Najib Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyempurnakan majlis perasmian Karnival Johor Jaya 2019 dan beramah mesra dengan rakyat kelmarin.

Keberangkatan tiba baginda disambut kira-kira 1,000 orang yang hadir memeriahkan program yang dahulunya dikenali sebagai Bazaar Johor Jaya.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Datuk Amran A. Rahman.

Keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar disambut meriah kira-kira 1,000 yang hadir pada majlis perasmian

Keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar disambut meriah kira-kira 1,000 yang hadir pada majlis perasmian

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung, karnival ini memberi peluang kepada orang ramai khasnya masyarakat Melayu, India dan warga asing untuk turut serta merasai kemeriahan suasana menyambut Tahun Baru Cina di samping dapat mengenali budaya dan adat resam masyarakat Cina.

“Saya berasa amat gembira kerana karnival seumpama ini bukan sahaja disambut meriah di kalangan masyarakat Cina di negeri ini malah ia turut diraikan bersama oleh pelbagai kaum,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Johor Jaya 2019 di Taman Johor Jaya.

Cai Tung berkata, rakyat Malaysia amnya dan rakyat negeri Johor khususnya sangat bertuah kerana dapat menyambut setiap perayaan di Malaysia dalam suasana aman dan harmoni tanpa perasaan takut dan bimbang.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyempurnakan majlis perasmian Karnival Johor Jaya 2019 sambil disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung

“Ini jelas menunjukkan bahawa persefahaman rakyat yang berbilang kaum di negara ini adalah kukuh dan kuat,” ujar beliau lagi.

Karnival Johor Jaya 2019 diadakan sempena sambutan Tahun Baru Cina dan berlangsung dari 21 Januari sehingga 3 Februari ini serta menyediakan hampir 70 buah gerai jualan yang menjual makanan, pakaian, hiasan, buah-buahan dan pelbagai barangan sebagai persediaan bagi menyambut Tahun Baru Cina.

EM

Tinggalkan komen anda