Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Lebih 150 Penduduk Hidupkan Cukai Jalan

By 18 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto : Siti Nor Asikin Haria/Asrul Nizam Abu Bakar (Bandar Baharu)

BANDAR BAHARU, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Lebih 150 orang penduduk kampung hadir di Dataran Masjid al-Halimi Bandar Baharu bagi membaharui lesen kenderaan dan lesen memandu.

Ketua Skuad Muda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah, Noor Zaini Jaafar berkata pasukan Unit Kaunter Bergerak dan Mobile JPJ Negeri Kedah mengadakan Program Komuniti Masyarakat Kampung Bersama JPJ negeri.

“Pada setiap hari iaitu Ahad sehingga Khamis di kawasan kampung dan seluruh daerah di negeri Kedah manakala pada hari cuti hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu pasukan mobile mengadakan perkhidmatan Unit Kaunter Bergerak dan Mobile di lokasi jabatan-jabatan kerajaan dan swasta,” katanya yang ditemui semalam.

Menurut Noor Zaini lagi, Pasukan Unit Kaunter Bergerak dan Mobile JPJ Negeri Kedah menjadikan masjid-masjid sebagai lokasi pilihan bagi tujuan mengimarahkan masjid.

“Apabila orang ramai yang hadir bagi mendapatkan perkhidmatan dan urusan JPJ, mereka turut sama dapat solat berjemaah,” tambahnya.

Seawal 8.00 pagi lagi penduduk kampung telah datang menunggu ketibaan pasukan JPJ Negeri Kedah di perkarangan masjid bagi mendapatkan perkhidmatan memperbaharui lesen kenderaan motosikal.

Saiful Azri Azhar, 34, hadir pada hari ini bagi memperbaharui cukai jalan dan insuran motosikalnya yang telah tamat tempoh.

“Pendekatan perkhidmatan bersama penduduk kampung yang dilakukan oleh pihak JPJ Kedah ini adalah sangat bagus dan amat bersesuaian dengan komuniti di peringkat kampung.

“Program sebegini dapat menarik golongan warga emas untuk datang memperbaharui cukai jalan motosikal dan memudahkan penduduk kampung untuk berurusan dengan pihak JPJ tanpa perlu hadir ke Kaunter JPJ yang sudah tentunya melibatkan kos, masa dan urusan yang lebih panjang,” katanya yang datang dari Taman Sri Putra, Parit Buntar, Perak.

Sementara itu penduduk Taman Cahaya Intan Bandar Baharu, di sini, Abdul Halim Mohd Said, 42, berkata, beliau datang bagi mendapatkan perkhidmatan pihak JPJ untuk memperbaharui cukai jalan motosikalnya yang telah tamat tempoh sejak tahun 2014.

“Program ini bagus dan memudahkan orang kampung yang rata-rata berpendapatan rendah untuk memperbaharui cukai jalan motosikal mereka. Semoga program ini dapat dilakukan dengan lebih kerap lagi pada setiap tahun,” ujarnya.

Antara perkhidmatan dan aktiviti yang disediakan ialah pemeriksaan motosikal bagi cukai jalan tamat tempoh melebihi setahun, memperbaharui lesen memandu, memperbaharui insuran dan cukai jalan kenderaan, membuat semakan saman dan semakan senarai hitam dan pembayaran saman.

Pihak pengurusan masjid dan jabatan-jabatan kerajaan di seluruh daerah di negeri ini boleh memohon untuk mendapatkan perkhidmatan ini dengan membuat surat permohonan kepada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Kedah dan menghubungi Bahagian Korporat JPJ Kedah di talian 04-7404888.

-SH

Tinggalkan komen anda