Skip to main content
HomeJohor

Niat Bantu Orang Dapat Rezeki Madu

By 20 Februari 2019Tiada komen4 minit bacaan
 Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam/Mazlin Basir (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Keajaiban dan keistimewaan madu telah diperakui sejak abad ke-20 lagi malah, penelitian secara ilmiah juga membuktikan madu kelulut mempunyai manfaat dan keajaiban kepada pengamalnya.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), madu kelulut berpotensi dikomersialkan kerana khasiat yang terkandung di dalamnya ternyata baik untuk kesihatan.

Di bawah seliaan Jabatan Pertanian, bermula dari menghasilkan produk berasaskan kelapa matag seperti minyak kelapa dara, kini Shamsul Bahri Ahmad, 57 dan isterinya, Fauziah Hassan,52 boleh berbangga kerana berjaya mengembangkan perniagaan kepada produk berasaskan madu kelulut.

Shamsul merupakan salah seorang peserta terawal di daerah Batu Pahat yang menceburkan diri dalam penanaman pokok kelapa matag di bawah seliaan Jabatan Pertanian. Permulaan idea menghasilkan minyak kelapa dara bermula pada tahun 2006 di mana sahabatnya memperkenalkan khasiat dan mengajarkan pembuatannya sehingga menjadi minyak kelapa dara berkualiti tinggi. Idea ini diperkukuhkan lagi dengan kajian tentang kesesuaian kelapa matag untuk menghasilkan minyak kelapa dara pada tahun 2008.

Salah seorg penulisan diberi pengalaman menghisap madu terus dari sarang kelulut

Salah seorg penulisan diberi pengalaman menghisap madu terus dari sarang kelulut

Minyak kelapa dara yang dihasilkan pernah dipertandingkan di peringkat kebangsaan dan meraih tempat ketiga serta dianugerahkan Good Agricultural Practice (GAP) oleh pihak kerajaan. Hal ini sekaligus membuktikan bahawa kualiti minyak yang dihasilkan diperakui sebagai salah satu minyak kelapa dara yang terbaik di peringkat kebangsaan.

Selain daripada produk berasaskan kelapa, Shamsul juga di antara individu yang terawal menceburkan diri dalam industri penghasilan madu kelulut.

“Di Batu Pahat sendiri memiliki lebih kurang 20 orang ahli yang berdaftar dalam Persatuan-persatuan lebah kelulut Negeri Johor” katanya yang juga dilantik sebagai Pegawai Rujukan Daerah bagi memberi nasihat dan rujukan kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan informasi atau menceburkan diri dalam industri penghasilan madu kelulut.

“Saya mula berniaga bukan sebab duit. Saya pasang niat untuk bantu orang dan memberi hasil penanaman sebagai buah tangan kepada saudara mara yang datang berkunjung ke rumah. Allah boleh bagi rezeki pada bila-bila masa” ujarnya.

Beliau tidak lokek dalam rezeki yang dimiliki dan berbekalkan niat yang murni, dari mula berjinak-jinak dalam penghasilan madu kelulut atas dasar minat kini beliau mampu tersenyum dengan pendapatan mencecah lebih RM 20,000 sebulan.

Shamsul menunjukkan rupa ratu kelulut

Shamsul menunjukkan rupa ratu kelulut

Ilmu yang dimiliki beliau turut diperakui Jabatan Pertanian kerana menepati prosedur yang ditetapkan oleh mereka. Melalui bantuan kerajaan beliau dapat mengembangkan dan mempelbagaikan jenis madu ini kerana mempunyai potensi untuk dipasarkan. Beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa membantu memberi nasihat dan galakan serta memberi peruntukan dalam mengembangkan perniagaan beliau.

Pada peringkat permulaan, hanya tiga sarang atau log kelulut yang diusahakan sebagai percubaan tetapi kini, terdapat lebih daripada 100 sarang yang dihuni oleh pelbagai jenis kelulut. Beliau turut membantu menyediakan sarang baru berserta kelulut bagi yang berminat sekiranya mempunyai permintaan.

Di Malaysia terdapat 35 jenis kelulut tetapi hanya enam jenis kelulut yang berada di bawah penjagannya iaitu Trigona Thorasica, Heterotrigona Itama, Lepidotrigona Terminata, Lophotrigona Canifrons, Trigona laeviceps dan Tetrigona Binghami. “Kelulut ini boleh ditentukan jenisnya dengan melihat muncung, warna dan bentuk kepalanya” katanya lagi.

Madu ini dituai sebulan sekali dengan menggunakan alatan khas untuk menyedut dan memudahkan proses penuaian. Menurut beliau hasil daripada penuaian boleh mencecah sekilogram sekotak tetapi apabila tiba musim bunga, penghasilan madu boleh melebihi sekilogram sekotak dan pernah mencecah sebanyak 2.7 kilogram.

Madu kelulut mempunyai rasa, warna dan kepekatan yang berbeza mengikut spesies dan sumber makanannya. Warna madu pada kebiasaanya berwarna kuning keemasan tetapi menurut Shamsul, terdapat juga warna merah, merah jambu, hijau dan hitam bergantung kepada jenis bunga yang dimakan oleh koloni kelulut tersebut.

Madu kelulut dari jenis Binghami dan Thorasica

Madu kelulut dari jenis Binghami dan Thorasica

Antara kelebihan madu kelulut ini ialah membantu mengurangkan gula dalam darah, membantu mencipta sel-sel darah baru, anti bakteria dan membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka. Khasiat-khasiat yang kaya dalam madu ini mendapat tempat di hati para penggemarnya dan tidak hairan jika madu kelulut ini sentiasa mendapat sambutan.

Sumber makanan kelulut ini ialah bunga daripada pokok kelapa matag, pokok buah-buahan, pokok herba dan bermacam-macam pokok bunga. Kelulut mendapatkan nektar daripada pangkal bunga berbeza dengan lebah di mana lebah mendapatkan nektar di hujung bunga sahaja. Oleh sebab itu rasa madu kelulut kadangkala menghasilkan rasa sedikit pahit, masam dan kelat.

“Saya harap belia ambil peluang dengan manfaatkan peruntukan dari kerajaan, fokus dalam bidang ini, kreatif dalam menghasilkan produk, belajar cara pemasaran, bersungguh-sunguh dan yang paling penting minat kena ada” antara nasihat yang diberikan untuk golongan belia yang berminat menceburkan diri dalam bidang ini ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.

EM

Tinggalkan komen anda