
Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Abdullah Sani Ariff (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 20 Feb (Malaysiaktif) – Persatuan Bekas Penuntut-Penuntut Maktab Sabah (OSCA) bakal memiliki sebuah bangunan pentadbiran menjelang pertengahan 2021.
Presiden OSCA, Datuk A. Asrie A. Kadir berkata, bangunan tersebut akan dibina di atas sebidang tanah pemberian kerajaan negeri di Jalan Tuaran.
“Bangunan yang dianggarkan berharga RM2 juta tersebut akan dibina di sebuah tanah berkeluasan 16 ribu kaki persegi berhampiran Kuarters Rumah Persekutuan Jalan Tuaran.
“Apabila siap nanti, bangunan ini akan berfungsi sebagai pusat pentadbiran dan aktiviti OSCA selain menjalankan khidmat masyarakat dan kauseling kepada ahli-ahli dan para pelajar Maktab Sabah.
“Persatuan ini telah ditubuhkan semenjak 1967 dan hingga kini OSCA memiliki lebih 800 orang ahli,” ujarnya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, hari ini.
Kunjungan tersebut adalah bagi memperkenalkan Ahli Jawatan Kuasa OSCA sesi 2018-2020 dan juga menjemput Tun Juhar yang juga Alumni Maktab Sabah sebagai tetamu kehormat ke Majlis Jamuan Makan Malam Reunion OSCA 2019 pada Mei nanti.