Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerlis

PAT 2019 Sasar Lebih 100 Ribu Pengunjung

By 23 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 23 Feb (Malaysiaaktif ) – Pesta Angin Timur Perlis 2019 (PAT 2019) yang akan berlangsung pada 1-3 Mac ini merupakan penganjuran kali ke-7 sejak diadakan pada tahun 2011 lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man menjelaskan bahawa PAT 2019 akan melibatkan lebih daripada 30 acara dan untuk tahun ini ia menyasarkan seramai 105,000 pengunjung akan menghadiri pesta yang akan berlangsung selama tiga hari tersebut.

“Berdasarkan kepada bancian statistik khalayak yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Negeri Perlis pada tahun 2018, seramai lebih daripada 100 ribu orang pengunjung telah hadir dan kita menyasarkan penambahan sebanyak lima ribu orang lagi pada kali ini.

“Ini kerana terdapat tujuh aktiviti baharu yang ditambah untuk memeriahkan lagi pesta tersebut seperti pertandingan woodball bendang, pertandingan audio permotoran, dan acara meniti gerek dalam bendang,” katanya ketika sidang media yang diadakan, di sini semalam.

PAT 2019 menggunakan tagline “Mai Pakat Mai, Pakat Mai Bagi Ramai” ini bakal berlangsung di Perkarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis melibatkan lebih daripada tiga puluh acara yang akan bermula dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Acara lumba kerbau besi yang dijangka menarik penyertaan yang ramai.

Acara lumba kerbau besi yang dijangka menarik penyertaan yang ramai.

Menurut Azlan lagi, aspek keselamatan diutamakan dalam pesta kali ini.

“Kita akan pastikan tahap keselamatan semasa acara lumba kerbau besi dipertingkatkan pada tahap maksima dan berharap kejadian pada tahun lepas tidak berulang. Hal ini adalah bagi menjamin keselesaan dan keselamatan kepada pengunjung,” tambahnya.

Program ini merupakan anjuran bersama Kerajaan Negeri Perlis dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta dikelolakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Negeri Perlis.

PAT 2019 memaparkan keunikan cara hidup seperti permainan tradisional, sukan rakyat serta makanan masyarakat di kawasan utara dan ianya memang dinantikan oleh penduduk selain menjadi produk pelancongan negeri.

-SH

Tinggalkan komen anda