Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomePahang

Pelantikan Ahli-Ahli Jumaah Pemangku Raja Pahang

By 24 Februari 2019Jun 15th, 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/ foto: L. Allyshia & S. Nurrul

PEKAN, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah  berkenan melantik Ahli-Ahli Jumaah Pemangku Raja dalam Majlis Pengurniaan Suratcara Pelantikan Ahli-Ahli Pemangku Raja di Istana Abu Bakar Pekan Pahang.

Pelantikan diadakan mengikut Fasal (1) (a) Perkara 18 (Bahagian Pertama) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang adalah diperuntukkan iaitu jika sekiranya Raja Pemerintah dipilih memegang jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, maka Raja Pemerintah bolehlah melantik Pemangku Raja atau Jumaah Pemangku Raja bagi menunaikan tugas-tugas diraja sehingga sampai masanya Baginda berhenti menjalankan tugas-tugas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Ahli-Ahli Jumaah Pemangku Raja berkenan akan menjalankan tugas-tugas Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang kini sedang belajar di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom sehingga 15 Disember tahun ini.

Tengku Hassanal sebelum ini dimasyhurkan menjadi Pemangku Raja Pahang pada 29 Januari lalu. Pelantikan baginda bagi menjalankan tugas-tugas ayahanda baginda sebagai Sultan Pahang sepanjang ketiadaan ayahanda baginda.

Sultan Pahang keenam juga berkenan melantik Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Haji Ahmad Shah sebagai Pengerusi Jumaat Pemangku Raja bermula dari 15 Februari sehingga 15 Disember tahun ini .

Sementara itu Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Sultan Ahmad Shah pula dilantik menjadi Ahli Jumaah Pemangku Raja dalam tempoh masa yang sama iaitu 15 Februari sehingga 15 Julai tahun ini.

Lima Ahli Jumaah Pemangku Raja yang dilantik akan menjalankan tugas-tugas Pemangku Raja mengikut giliran.

Ahli Jumaah Pemangku Raja ialah Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Hajjah Meriam Sultan Ahmad Shah (15 Februari sehingga 15 April 2019); Tengku Puteri Seri Teja Pahang Puan Sri Hajjah Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah (16 April sehingga 16 Jun 2019) dan Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Hajjah Dato’ Aishah Sultan Ahmad Shah (17 Jun sehingga 17 Ogos 2019).

Selain itu, Tengku Puteri Seri Lela Manja Tengku Dato’ Hajjah Nong Fatimah Sultan Ahmad Shah (18 Ogos sehingga 18 Okt 2019) dan Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Dato’ Hajjah Shahariah Sultan Ahmad Shah (18 Okt sehingga 15 Disember 2019).

 

-KN

Tinggalkan komen anda