Skip to main content
HomeLabuan

Jangan Pandang Ringan Pemakaian Tali Keledar

By 11 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Para Pengguna jalan raya yang menaiki kereta dinasihatkan untuk tidak memandang ringan kepada pemakaian tali kaledar depan dan belakang.

Menurut Ketua Polis Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad, pemakaian tali keledar adalah bertujuan meningkatkan tahap keselamatan jika berlakunya kemalangan.

“Perlu diingatkan bahawa apabila penumpang belakang tidak memakai tali kaledar dan berlakunya perlanggaran pada kelajuan biasa antara 50 hingga 60 kilometer sejam (km/jam), penumpang belakang akan terhumban ke hadapan dengan kekuatan 40 kali daripada berat badannya.

“Justeru itu, penumpang belakang yang tidak memakai tali kaledar boleh menjadi punca kecederaan parah atau kematian kepada pemandu atau penumpang di hadapan,” katanya.

Farid beramah mesra dan mengedarkan risalah kempen keselamatan jalan raya kepada salah seorang pemandu

Farid beramah mesra dan mengedarkan risalah kempen keselamatan jalan raya kepada salah seorang pemandu

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan iaitu 110km/jam bagi lebuhraya, 90km/jam bagi Jalan Persekutuan/negeri, 60km/jam di kawasan bandar dan 30 km/jam di kawasan sekolah.

“Jangan memandu melebihi had laju dan perlahankan kenderaan sekiranya memandu dalam cuaca hujan.

“Jika memandu dalam keadaan cuaca basah had laju kenderaan hendaklah dikurangkan 50 peratus kerana keadaan jalan licin melambatkan kenderaan untuk berhenti.

“Untuk meningkatkan kebolehlihatan semasa memandu di dalam hujan, pasangkan lampu kenderaan dan bukannya lampu kecemasan,” katanya lagi.

Farid (tengah) semasa ditemu bual pihak media

Farid (tengah) semasa ditemu bual pihak media

Selain itu, merancang perjalanan dengan baik juga katanya adalah sangat penting.

“Cuba elakkan memandu di saat -saat akhir kerana ini akan menjurus kita untuk sikap terburu-buru dan sekiranya wujud kesesakan maka kita akan mudah menjadi stress.

“kita juga perlu tanamkan sifat sabar dan berhemah ketika di jalan raya seperti memberi laluan kepada pengguna lain serta memandu atau menunggang mengikut peraturan jalan raya,” katanya semasa ditemui media selepas menyertai Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Ops Selamat di Jalan Tun Mustapha pagi semalam.

Tambahnya, sepanjang Ops Selamat Tahun Baharu Cina yang bermula 29 Januari dan akan berakhir 12 Februari ini, sebanyak 591 keping saman dikeluarkan meliputi 254 saman bagi kesalahan parkir dan 337 saman bagi pelbagai kesalahan trafik yang lain.

EM

Tinggalkan komen anda