Skip to main content
HomeSabah

SAR Nur Taqwa-Sri Mulia Bawa Sinar Baharu

By 11 Februari 2019Tiada komen3 minit bacaan
 Laporan/foto: Asmidar Zainol/Jeffren Malaning, Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)

KOTA BELUD, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Kompleks Sekolah Agama Rakyat (SAR) Nur Taqwa – Sri Mulia membawa sinar baharu kepada pendidikan agama Islam di daerah ini.

Kompleks SAR Nur Taqwa-Sri Mulia berkeluasan dua ekar, mula beroperasi pada 1 Februari lalu dengan seramai 186 murid dilengkapi dengan kemudahan surau, lapan buah kelas, dewan terbuka, padang futsal dan empat unit rumah guru.

Sebelum ini, sekolah agama tersebut beroperasi di Rumah Anak Yatim Nur Taqwa, Kampung Rampayan Laut pada tahun 2001 dengan hanya mempunyai 25 murid dan dijangka akan meningkat kepada 200 murid pada tahun ini.

Wan Azizah menandatangani plak sekolah sebagai merasmikan kompleks sekolah berkenaan

Wan Azizah menandatangani plak sekolah sebagai merasmikan kompleks sekolah berkenaan

Bagi Guru Kelas Tahun lima, Khatijah Amat, 29, kompleks sekolah baharu tersebut mampu meningkatkan tumpuan pembelajaran murid-murid di sekolah berkenaan.

“Kalau sebelum ini di kelas yang lama, ada juga yang mengadu kelas sempit semasa belajar hingga mengganggu konsentrasi pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.

“Alhamdulillah selepas berpindah ke sini, mereka semua nampak gembira dan selesa serta dapat memberi tumpuan di dalam kelas.

“Pada ketika ini saya mengajar 27 murid berbanding sebelum ini 23 murid dengan lapan mata pelajaran antaranya Sirah, Bacaan Al Quran, Ibadah, Bahasa Arab,” kongsinya kepada pemberita.

Wan Azizah (tengah) menjadi saksi penyerahan kompleks sekolah berkenaan daripada Tan Sri Pandikar (kiri) kepada Pemegang Amanah kompleks baharu, Milus Abd Wahab (kanan).

Wan Azizah (tengah) menjadi saksi penyerahan kompleks sekolah berkenaan daripada Tan Sri Pandikar (kiri) kepada Pemegang Amanah kompleks baharu, Milus Abd Wahab (kanan).

Sementara itu pelajar tahun enam, Datu Irwan Shah Datu Batul, 12, turut gembira dapat belajar di dalam kelas baharu.

“Kelas di sini lebih besar dan sekarang ramai pelajar baharu juga mula mendaftar di sekolah ini.

“Lokasi sekolah baharu lebih dekat dari lokasi sekolah lama, dan memudahkan saya ke kelas iaitu bermula dari pukul 2 petang hingga 5 petang.

Khatijah Amat

Khatijah Amat

“Selain itu, saya dan rakan-rakan juga gembira sebab di kompleks ini disediakan gelanggang futsal untuk aktiviti riadah selepas kelas,” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada dua pelajar yang belajar di sekolah berkenaan Jamal Latip, 34, melahirkan penghargaan kepada Pemegang Amanah Kompleks Sekolah Agama Rakyat (SAR) Nur Taqwa – Sri Mulia, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di atas sumbangan sekolah berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada Tan Sri Pandikar kerana telah memberi sumbangan membina kompleks SAR ini demi kepentingan pendidikan agama Islam anak-anak di daerah ini khususnya di Kampung Rampayan Laut.

“Dengan yuran yang amat minima dapat membantu meringankan perbelanjaan persekolahan anak-anak dan terima kasih juga kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di atas sumbangan barangan kelengkapan sekolah yang disumbangkan hari ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kompleks Sekolah Agama Rakyat (SAR) Nur Taqwa-Sri Mulia dan sumbangan beg sekolah pada Jumaat.

Datu Irwan Shah Datu Batul.

Datu Irwan Shah Datu Batul.

Sebanyak 14 buah sekolah menerima sumbangan beg sekolah, antaranya Sekolah Agama Rakyat (SAR) Nur Taqwa-Sri Mulia; Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan Ulu; SK Kaguraan; SAR Al-Hikmah Pintasan; SK Labuan dan SAR Timpaus.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran lebih tiga ribu orang dan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew; Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim & Alam Sekitar (MESTECC) merangkap Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis serta Pemegang Amanah Kompleks SAR Nur Taqwq-Sri Mulia, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

EM

Tinggalkan komen anda