
Laporan / foto : Mohamad Zairin Mohamad Zin (Selangor)
SHAH ALAM, 27 Mac (Malaysiaaktif) – “Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu kekal menjadi badan yang bebas daripada sebarang pengaruh oleh mana-mana pihak termasuk orang-orang politik dan seharusnya melaksanakan tugas dengan telus, berani dan tidak memihak kepada sesiapa”, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika merasmikan kompleks bangunan baru SPRM Selangor bertempat di Kompleks SPRM Selangor, Seksyen 16, Shah Alam semalam.
“Pegawai-pegawai penyiasat SPRM hendaklah diberi kebebasan dengan kuasa yang ada untuk menjalankan tugas penyiasatan secara profesional tanpa arahan-arahan tertentu yang boleh mengganggu penyiasatan.
“Dengan cara ini, SPRM akan dilihat sebagai satu badan yang boleh dipercayai oleh rakyat bagi membanteras gejala rasuah dan sekaligus menepis tanggapan negatif rakyat terhadap SPRM”, titah baginda.
Baginda turut menitahkan bahawa SPRM perlu memberikan maklumat secukupnya kepada rakyat berhubung tindakan penguatkuasaan dan hasil siasatan.
“Ini kerana maklumat lengkap mengenai hasil siasatan penting bagi mengelakkan wujudnya persepsi bahawa sesetengah pihak dibebaskan tanpa sebarang tindakan dan SPRM tunduk kepada pihak tertentu dalam melaksanakan tugas mereka”, titah baginda.
Baginda bertitah, akhbar-akhbar banyak melaporkan mengenai tangkapan dan tahanan reman yang dibuat terhadap mereka yang disyaki melakukan amalan rasuah namun kesudahannya sama ada mereka ini dituduh di mahkamah atau sebaliknya tidak diketahui dan itu yang menjadi aduan dan rungutan orang ramai ketika ini.
“Beta mengingatkan para pemimpin negeri dan negara serta penjawat awam supaya tidak sama sekali membabitkan diri dengan rasuah dan menjadi penjawat awam dan orang politik bukan jalan untuk mengumpul kekayaan serta bermewah-mewah tetapi perlu mengingati kembali sumpah jawatan yang diikrarkan untuk berkhidmat dengan amanah dan jujur kepada rakyat”, titah baginda.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.
Terdahulu, kompleks SPRM Selangor bernilai RM41 juta ini mula dibina pada penghujung Februari 2014 dan diserahkan secara rasmi pada November 2017. Kompleks bangunan ini terdiri daripada enam tingkat blok utama, gedung sita, dan blok mekanikal berkenaan direka bentuk menepati keperluan operasi serta sistem pentadbiran SPRM.