
Laporan/foto: Eparizan Mansor/Wazari Wazir (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 7 Mac 2019 (Malaysiaaktif) – Kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, serta kesopanan dan kesusilaan adalah adunan lengkap etika penggunaan internet dan media sosial.
Bercakap kepada Malaysia Aktif selepas taklimat sempena Majlis Perasmian Pencegahan Jenayah Siber dan Anti Pemerdagangan Orang, timbalan pengarah Jabatan Pembangunan Advokasi, Saidatul Ashikin Abu Hasan berkata, “pengurusan risiko dalam talian bukanlah sesuatu yang mudah namun dapat diatasi sekiranya orang ramai sentiasa beringat bahawa apa jua kesalahan di dunia nyata demikian jugalah realitinya di dunia maya.
“Sebenarnya, dengan menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara, pelayar internet sudah pasti tidak tersasar jauh kerana berlandaskan etika yang terdapat dalam sekuen tersebut, orang ramai akan sentiasa berhati-hati sebelum melakukan sebarang posting di media sosial atau urusniaga internet,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Dr. Mohd Ali Mohamad Nor dalam ucapan perasmiannya berkata, “Program taklimat ini adalah merupakan salah satu daripada komitmen KKMM dalam melaksanakan tindakan dan agenda promosi dan publisiti bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jenayah telekomunikasi.”

Gobind Singh (tengah, tiga dari kanan) turut meluangkan masa meninjau taklimat diadakan hasil saranan beliau kepada kementeriannya
Menurutnya lagi, “usaha untuk menangani jenayah siber ini adalah bertitik tolak daripada pengumuman Menteri KKMM, Gobind Singh Deo pada 3 Oktober 2018 yang bertekad membanteras dan memerangi jenayah siber susulan kebimbangan peningkatan jumlah jenayah siber dalam pelbagai cara.”
Jenayah siber merupakan ancaman serius yang semakin meningkat setiap tahun yang antaranya termasuklah penipuan dalam talian, penipuan kad kredit, kecurian identiti dan pencerobohan data.

saya berharap semua yang hadir dapat menyebarluaskan isu ini kepada masyarakat supaya tidak mudah terjebak dengan jenayah ini – Nasrudin Mahmud
Pengarah Penerangan Kedah, Nasrudin Mahmud juga berkata “program taklimat yang dianjurkan pada hari ini kepada semua key communicators daripada jabatan dan agensi di bawah KKMM adalah satu bentuk komitmen daripada kementerian justeru, marilah kita bersama-sama membanteras jenayah siber dan saya berharap semua yang hadir dapat menyebarluaskan isu ini kepada masyarakat supaya tidak mudah terjebak dengan jenayah ini.”
Taklimat yang diadakan di Dewan Serbaguna KKMM hari ini turut dihadiri oleh Pegawai Kanan Polis, Kementerian Dalam Negeri, DSP Mohd Hadzwan Zulkefle serta pegawai-pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi di bawah KKMM yang merupakan inisiatif kementerian meningkatkan jaringan kerjasama strategik dan bersepadu semua pihak berkaitan dalam usaha mencegah dan mendidik orang ramai membasmi jenayah media siber.