Skip to main content
HomeJohor

Semangat Patriotisme Dizahirkan Melalui Sketsa Rukun Negara

By 8 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
 Laporan/foto: Mohamad Niazi Ismail/Muhammad Shah Hood (Johor Bahru)

MUTIARA RINI, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Seni lakon adalah salah satu teknik yang digunakan dalam kaedah pembelajaran dan pengajaran. Aktiviti sebegini akan menjadi lebih menarik apabila pelajar dapat berinteraksi dan berkomunikasi sesama sendiri dalam menyampaikan mesej.

Bertempat di Mydin Mutiara Rini, Johor Bahru, telah berlangsung Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Johor 2019 dengan jayanya. Sebanyak 10 buah sekolah menengah mewakili setiap daerah di negeri Johor telah menyertai pertandingan pada kali ini.

Pertandingan Sketsa Rukun Negara ini bukan sahaja menguji kemahiran pelajar berbahasa, malahan berpeluang melihat aksi rakan-rakan sebaya ketika berlakon.

Lakonan bukan sahaja menyeronokkan, tetapi lebih dari itu di mana pelajar akan lebih berkeyakinan ketika berhadapan dengan khalayak.

Lakonan bukan sahaja sekadar hiburan malah ia dapat memupuk nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, berdisplin, berani, sabar dan prihatin dengan persekitaran.

Ucapan Penutup pertandingan Sketsa Rukun Negara peringkat negeri Johor 2019 oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Johor, Azman Adnan

Ucapan Penutup pertandingan Sketsa Rukun Negara peringkat negeri Johor 2019 oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Johor, Azman Adnan

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan berkata “Pelajar yang terlibat dengan aktiviti ini akan dapat mempelajari, menghayati dan membudayakan Rukun Negara dalam kehidupan seharian mereka”.

“Aktiviti ini sudah tentu menuntut komitmen yang tinggi khususnya dari pihak guru dan pelajar yang bertungkus lumus membuat persediaan dari segi latihan bagi menepati kehendak serta keperluan pertandingan Sketsa Rukun Negara. Secara tidak langsung, proses pembelajaran dan penghayatan berkenaan Rukun Negara dapat diamati dengan lebih baik,” jelasnya.

Tambah beliau, “Melalui usaha semua pihak yang terlibat ianya dilihat mampu untuk membentuk generasi muda yang menghargai perjuangan tokoh-tokoh terdahulu sekaligus berusaha mempertahankan kedaulatan tanah air agar tidak dicemari oleh unsur-unsur negatif dan perkara tidak diingini” ujarnya.

Jelasnya lagi, “Terjemahan dari pertandingan Sketsa Rukun Negara yang dipersembahkan para pelajar dilihat mampu membuka mata dan hati masyarakat Malaysia yang berbilang kaum terutama golongan muda bagi memahami dengan lebih jelas betapa pentingnya mengamalkan budaya hidup berteraskan prinsip-prinsip Rukun Negara dalam era Malaysia Baharu”.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Majlis Penutup Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Johor anjuran Jabatan Penerangan Negeri Johor di Mydin Mutiara Rini, Johor Bahru.

Justeru itu, peranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Jabatan Penerangan Negeri Johor amat penting bagi menggalakkan pertumbuhan minat dan bakat berlakon pelajar terus berkembang secara terancang.

Johan pertandingan Sketsa Rukun Negara peringkat negeri Johor 2019 SMK Sultan Ibrahim Kulai.

Johan pertandingan Sketsa Rukun Negara peringkat negeri Johor 2019 SMK Sultan Ibrahim Kulai.

Namun begitu, matlamat ini tidak akan dapat dicapai sekiranya pelajar tidak memberi kerjasama kerana pelajar perlu mencipta skrip berdasarkan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas dalam memupuk nilai-nilai murni dan perpaduan kaum.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim, Kulai menjuarai pertandingan Sketsa Rukun Negara 2019 peringkat negeri Johor dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta sijil dan plak.

Naib juara disandang oleh kumpulan dari SMK Taman Sri Kluang, Kluang dan menerima hadiah wang tunai RM1,500 berserta sijil dan plak manakala tempat ketiga disandang oleh kumpulan dari SMK Ledang, Tangkak dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta sijil dan plak.

EM

 

Tinggalkan komen anda