Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Kemegahan Kampung Budaya Sarawak

By 15 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak) 

BAKO, 15 Mac (Malaysiaaktif) – Kampung Budaya Sarawak merupakan destinasi ekobudaya yang mengagumkan negeri Sarawak. Ia  merupakan mikrokosma budaya yang mempamerkan kehidupan etnik utama Sarawak. 

Terletak di Pantai Damai, Santubong, 32km dari pusat Bandaraya Kuching yang mengambil masa lebih kurang  40 minit perjalanan. Kawasan ini sungguh indah kerana berdekatan dengan pantai berlatarbelakang  Gunung Santubong. 

Rumah tradisional kaum Melanau

Rumah tradisional kaum Melanau

Perkara  utama ditonjolkan di perkampungan budaya ini ialah adat resam dan rekabentuk kediaman tradisional  yang dimiliki oleh setiap etnik utama negeri ini. Manakala  barangan yang dipamerkan adalah seperti alat memasak, busana, senjata,  alat pengubatan tradisional,  alat muzik dan banyak lagi.  

Dikenali sebagai ‘Muzium Hidup’, Perkampungan Budaya ini dibina untuk memulihara warisan budaya Sarawak untuk tontonan dan pengetahuan masyarakat tempatan dan antarabangsa. Tempat ini sudah terkenal dan menjadi destinasi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri.

Wanita Iban menyulam ‘pua kumbu’ sejenis kain yang mempunyai corak menarik dan popular di Sarawak

Wanita Iban menyulam ‘pua kumbu’ sejenis kain yang mempunyai corak menarik dan popular di Sarawak

Ia mula dibina pada tahun 1998 dan siap sepenuhnya pada tahun 2000. Berkeluasan 17 ekar, terdapat 150 orang yang tinggal di perkampungan ini sebagai demonstrator seperti penyulam pakaian dan manik, penari, pembuat makanan serta busana, pemain muzik dan penari. 

Di samping kumpulan demonstrator terdapat juga kumpulan pengurusan yang mengurus, mentadbir dan mengendalikan acara-acara. Pada setiap rumah tradisional terdapat dua orang pembantu yang mahir menyampaikan maklumat berkenaan  budaya sesuatu kaum.

Kampung Budaya Sarawak kelihatan indah dipagari oleh tumbuhan hijau

Kampung Budaya Sarawak kelihatan indah dipagari oleh tumbuhan hijau

Perkampungan ini juga mempunyai teater, di mana pengunjung boleh menikmati persembahan tarian pelbagai budaya pada pukul 11.30 pagi dan 4:00  petang setiap hari.

Selain daripada itu, terdapat sebuah restoran dan kedai menjual kraftangan.  Pengunjung juga boleh mengadakan majlis persandingan di Perkampungan Budaya Sarawak mengikut gaya tradisional kaum Iban, Melayu, Melanau, Bidayuh atau Orang Ulu.

Bagi kemasukan ke kampung ini, tiket yang dikenakan sebanyak RM60 dewasa dan RM30 kanak-kanak. Manakala bagi rakyat Sarawak pula, harga diskaun dikenakan dengan menunjukkan kad pengenalan. 

Francis Kujen yang berketurunan Bidayuh sudah berkhidmat di kampung ini lebih kurang 29 tahun. Beliau mahir bermain sape dan membuat peralatan tersebut. 

“Kami di sini dilatih untuk menguasai seni budaya terutama persembahan alat muzik, tarian dan membuat peralatan,” ujar beliau.

“Saya telah berkhidmat di sini semenjak kampung ini dibuka. Tugas saya ialah menari dan membuat sulaman manik untuk dijual kepada pengunjung,” kata Habsah Onet. 

Petugas di sini sangat peramah dan senang didampingi. Mereka juga boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan bahasa tempatan yang lain.

Perkampungan ini sentiasa dikunjungi dan lazimnya sibuk pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Adalah satu kerugian bagi warga Sarawak jika tidak mengunjungi Perkampungan Budaya Sarawak kerana di sini tersimpan khazanah budaya etnik utama negeri.

Tinggalkan komen anda