Skip to main content
HomeJohor

Lawatan TPM ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB)

By 14 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin & Muhammad Shah Hood/Najib Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 14 Mac (Malaysiaaktif) – Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail membuat lawatan rasmi ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pembuangan Sisa Toksik di Sungai Kim Kim, Johor Bahru di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang hari ini.

Kesemua agensi Jawatankuasa Kerja Bencana Negeri yang terlibat memberikan laporan ringkas dan status terkini bilangan mangsa kejadian pembuangan bahan kimia yang telah masuk hari ke lapan sejak 7 Mac 2019 yang lalu.

Petugas JaPen Johor di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB)

Petugas JaPen Johor di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB)

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal turut menerangkan jumlah orang awam yang terjejas kesihatan disebabkan bencana ini dan terdapat penurunan yang ketara serta menunjukkan perkembangan yang lebih positif, berikutan penutupan sementara sekolah berbanding semalam yang telah menimbulkan suasana panik dan kelam kabut.

Setakat hari ini, hanya 93 orang yang mendapatkan rawatan di kem perubatan Dewan Taman Pasir Putih manakala kes yang dirujuk ke hospital hanya tujuh orang mangsa berbanding semalam yang mencatatkan kes seramai 848 mangsa mendapatkan rawatan manakala seramai 93 orang lagi mangsa telah dirujuk ke hospital.

Di kem perubatan Dewan Taman Mawar pula, hanya melibatkan 36 orang mangsa yang telah menerima rawatan dan tiada mangsa dirujukkan ke hospital berbanding semalam seramai 354 orang yang telah menerima rawatan dan 46 orang mangsa telah dirujukkan ke hospital.

Suasana di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB)

Suasana di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB)

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Johor, Yahaya Madis menyampaikan maklumat ringkas berkenaan kronologi kes pembuangan sisa bahan kimia serta kepakaran HAZMAT dan operasi pihak bomba.

Setakat hari ini, pihak bomba masih meneruskan operasi di beberapa lokasi tertentu dan mengesan masih ada lagi pencemaran bahan kimia dan pengesanan gas.

Wan Azizah juga turut melawat ke kaunter-kaunter operasi agensi yang lain seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia, Majlis Perbandaran Pasir Gudang serta Jabatan Penerangan Negeri Johor.

Semua agensi yang terlibat di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) beroperasi sepanjang 24 jam dan perlu mengemaskini maklumat mengikut bidang tugas agensi masing-masing.

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bersama Menteri Besar Johor mendengar taklimat oleh Ketua Pusat Operasi Bencana

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bersama Menteri Besar Johor mendengar taklimat oleh Ketua Pusat Operasi Bencana

Kehadiran Timbalan Perdana Menteripada hari ini sedikit sebanyak memberi perangsang kepada petugas-petugas untuk meneruskan tugas semasa menghadapi bencana.

Selesai sesi lawatan, Wan Azizah Wan Ismail menghadiri sesi taklimat bencana bersama Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

EM

Tinggalkan komen anda