
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang
KUANG, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Lebih 60 buah rumah yang rosak dan terjejas akibat dilanda ribut semalam mendapat bantuan segera berupa pembaikan melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang dianggarkan berjumlah RM60,000.
Pengerusi Pembangunan Majlis Tindakan Dun Kuang, Azman Yaakob berkata, kejadian yang berlaku sekitar 5.30 petang menyebabkan beberapa kawasan dilanda ribut seperti Kampung Damai, Kampung Setia, Kampung Melayu Sri Kundang dan Kampung Bunga Raya.
Menurut Azman yang juga Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS), kerja-kerja pembaikan bumbung dilakukan bermula hari ini dan dijangka dapat diselesaikan secepat mungkin untuk mengelakkan kerosakan lebih teruk sekiranya hujan.
“Peruntukan melibatkan barangan pembaikan seperti zink, paku serta kayu termasuk kos upah pembaikan rumah dianggarkan kira-kira RM1,000.
“Senarai mangsa terjejas telah dikumpulkan oleh Ketua Kampung masing-masing yang akan menguruskan pembelian paralatan sebelum melantik tukang bagi pembaikan,” katanya.
Jelas Azman, dalam insiden semalam, beberapa kenderaan turut dilaporkan rosak namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
“Setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka dan mangsa yang terjejas diminta membuat laporan polis bagi kegunaan dokumentasi sumbangan bencana daerah.
“Beberapa agensi kerajaan telah turun ke lokasi bagi menyalurkan bantuan termasuk kerja pembersihan, manakala bantuan saguhati bencana akan dilakukan secara berperingkat,” ujarnya.