Skip to main content
Home

Urbanisasi Benteng

By 13 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/ foto: Mohd Fazli Bin Mohd Zulkifli/ Syed Mohd Muda

KUANTAN, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Sebut sahaja nama Benteng, memang tidak asing lagi bagi penduduk di sekitar Daerah Kuantan kerana ia merupakan tempat tumpuan utama suatu ketika dahulu. Namun kini setelah melalui proses transformasi dan urbanisasi yang pesat, nama Benteng kini telah ditukarkan kepada Taman Esplanade Kuantan.

Projek Mercu Tanda Kuantan iaitu Menara Teruntum dijangka memberi sinar harapan kepada peniaga-peniaga gerai makan Taman Esplanade Kuantan.

Projek Mercu Tanda Kuantan iaitu Menara Teruntum dijangka memberi sinar harapan kepada peniaga-peniaga gerai makan Taman Esplanade Kuantan.

Banyak perubahan telah berlaku di kawasan tersebut bagi tujuan menarik minat pelancong untuk berkunjung ke Taman Esplanade Kuantan. Usaha kerajaan Negeri Pahang dan Persekutuan ke arah memajukan Bandar Kuantan sememangnya memberi impak positif kepada masyarakat setempat.

Menurut Rohaya Mohamad, 63, dia merupakan salah seorang peniaga yang paling lama berniaga di gerai makan Benteng Kuantan (kini dikenali sebagai Taman Esplanade) sejak dari tahun 1975.

“Dahulu ketika ada perhentian bas Kuantan dan jeti bot penambang di Benteng, gerai makan makcik tidak putus dikunjungi pelanggan yang menggemari juadah nasi ayam. Jualan sehari boleh mencecah sehingga 50 ekor ayam untuk menampung permintaan pelanggan.

“Tidak dinafikan kemajuan itu perlu ada, tapi sejak ketiadaan perhentian bas dan jeti bot penambang di sini, perniagaan saya semakin merosot. Kadang-kadang hanya 3 ekor ayam sahaja yang terjual dalam sehari. Hanya mengharapkan kepada pelanggan tetap sahaja,” ujar Rohaya.

Tambah Rohaya lagi, sejak pemergian arwah suaminya 8 tahun yang lalu, beliau perlu bekerja lebih keras bagi meneruskan perniagaan tersebut kerana hanya itu sahaja sumber pendapatan beliau untuk meneruskan kehidupan.

“Satu ketika dahulu, Benteng merupakan tempat tumpuan pelanggan bagi menikmati makanan yang berasaskan hasil laut seperti keropok, satar, otak-otak, ikan, udang, ketam dan sotong celup tepung. Masih terbayang lagi kemeriahan yang berlaku pada waktu itu berbanding pada masa sekarang,” katanya lagi.

Sebagai salah seorang peniaga yang telah lama berniaga di situ mengharapkan pihak berwajib dapat melakukan sesuatu bagi mempertingkatkan lagi promosi agar kemeriahan Benteng tidak pupus ditenggelami zaman. Beliau juga memandang positif terhadap usaha kerajaan dalam membina mercu tanda Menara Teruntum dan berharap akan ada impak positif kepada peniaga-peniaga gerai makan di sepanjang Taman Esplanade atau lebih dikenali sebagai Benteng Kuantan.

-KN

Tinggalkan komen anda