Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Nostalgia Penambang

By 13 Mac 2019Jun 15th, 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/ foto: Mohd Fazli Bin Mohd Zulkifli

KUANTAN, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Suatu ketika dahulu Bandar Kuantan dikenali sebagai bandar pesisir sungai yang mempunyai jaringan hubungan melalui jalan air selain darat.

Pengangkutan utama yang menghubungkan penduduk dari Kampung Tanjung Lumpur dan Peramu ke Bandar Kuantan ialah teksi air atau lebih dikenali oleh masyarakat umum sebagai bot penambang.

Bangkai restoran kapal yang terkenal suatu ketika dahulu boleh dilihat ketika air Sungai Kuantan benar-benar surut.

Bangkai restoran kapal yang terkenal suatu ketika dahulu boleh dilihat ketika air Sungai Kuantan benar-benar surut.

Namun segalanya telah berubah selepas terbinanya sebuah jambatan yang menghubungkan kedua-dua kampung tersebut dengan bandar Kuantan. Kini perkhidmatan penambang sudah tidak diperlukan lagi akibat kemajuan yang terbina memudahkan lagi perjalanan dengan menggunakan pengangkutan darat.

Wartawan Malaysiaaktif, Fazli Zulkifli menyingkap nostalgia yang kini semakin tenggelam dimamah arus kemodenan serta pembangunan yang pesat di Bandar Kuantan.

Kewujudan aktiviti bot penambang dikatakan telah bermula pada awal 70-an dan semakin popular sekitar tahun 80-an sehinggalah ia mula beransur kelam apabila jambatan Tanjung Lumpur di Jalan Sultan Abu Bakar siap dibina pada tahun 1996.

Anak jati Kuantan, Rostam Shah Baharuddin, 60, berkata, dia sering teringat nostalgia kegemilangan bot penambang suatu ketika dahulu di mana ia merupakan pengangkutan utamanya untuk bekerja di Bandar Kuantan. Pesara syarikat swasta ini menceritakan pengalaman dan suasana ketika menggunakan perkhidmatan bot penambang.

“Di sungai ini dulu boleh dikatakan tidak ubah seperti sebuah lebuhraya yang sibuk dengan bot-bot penambang dan kapal nelayan kerana ia merupakan antara laluan utama pada ketika itu selain daripada laluan darat,” ujar Rostam.

Tapak asal jeti bot penambang suatu ketika dahulu yang kini telah dinaiktaraf untuk kegunaan pemancing.

Tapak asal jeti bot penambang suatu ketika dahulu yang kini telah dinaiktaraf untuk kegunaan pemancing.

“Sebelum Jambatan Tanjung Lumpur dibina, penduduk bergantung kepada perkhidmatan bot penambang untuk ke Bandar Kuantan melalui Sungai Kuantan dengan tambang ketika itu hanya berjumlah 30 sen untuk semua laluan yang menghubungkan Kampung Tanjung Lumpur, Kampung Peramu dan Bandar Kuantan,” ujarnya.

Menurut Rostam, apa yang menarik pada ketika itu, cara pembayaran tambang menaiki bot amat mudah iaitu penumpang hanya perlu mencampakkan syling sejumlah 30 sen di atas bot apabila tiba di jeti.  Ianya adalah disebabkan oleh keadaan ‘tekong’ bot yang tidak sempat untuk mengutip tambang daripada setiap orang penumpang akibat sibuk mengemudi bot.

“Dulu di sini terkenal juga dengan sebuah restoran atas kapal yang menjadi salah satu tarikan pelancong di Bandar Kuantan, yang dipanggil restoran Bahtera, namun ia hanya tinggal nostalgia apabila kapal tersebut karam dan dijadikan tukun. Sekali-sekala semasa air sungai surut, kita boleh lihat bangkai restoran kapal tersebut,” tambahnya.

Sebagai penduduk Kuantan, Rostam mengharapkan agar pihak kerajaan negeri dapat menghidupkan kembali nostalgia tersebut sekaligus menjadikan daya tarikan eko-pelancongan di Bandar Kuantan. Di samping kewujudan perkhidmatan ‘river cruise’ aktiviti bot penambang juga penting bagi membantu meningkatkan pendapatan sampingan kepada golongan nelayan terutama pada musim tengkujuh.

-KN

Tinggalkan komen anda