Skip to main content
HomeJohor

The Wetlands Tarikan Eko Pelancongan di Sedili

By 26 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/Nurulaini Mohd Kasran

KOTA TINGGI, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Sebut sahaja eko pelancongan paya bakau di negeri Johor, pasti kita semua akan terbayangkan Taman Negara Johor Pulau Kukup dan Tanjung Piai namun sejak 10 tahun lalu, penduduk Kota Tinggi harus berbangga kerana daerah ini turut mempunyai daya tarikan dan kemudahan yang serupa dengan dua taman negara berkenaan.

Kompleks The Wetlands yang terletak di Kampung Belukar Durian, Sedili Kechil ini pastinya menggamit pencinta alam sekitar untuk menerokai flora dan fauna yang terdapat di sini.

Kedudukannya yang strategik dan tenang menjadikan tempat ini sesuai untuk dijadikan tempat riadah bagi mereka yang mendambakan ketenangan dan merehatkan minda dari hiruk pikuk kota.

Akar pokok bakau yang timbul sewaktu air surut

Akar pokok bakau yang timbul sewaktu air surut

Di samping itu, para pengunjung berpeluang menikmati keindahan alam semulajadi yang masih asli dan segar.

Menurut seorang ahli lembaga koperasi Kampung Belukar Durian, Abd Kamal Abd Rahman, 54, kompleks ini telah dibangunkan oleh pihak Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) setelah menyedari bahawa terdapat keunikan eko sistem serta potensi pelancongan di sini.

“Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah seperti meredah hutan di kawasan paya bakau, penanaman semula bakau, menyusur sungai, berkayak, berbasikal dan mengutip lokan.

“Kompleks ini juga dibuka untuk mana-mana pihak yang berminat untuk mengadakan aktiviti seperti hari keluarga, perkhemahan serta penganjuran kursus yang bersesuaian,” ujarnya.

Pelantar pejalan kaki disediakan untuk kemudahan pengunjung

Pelantar pejalan kaki disediakan untuk kemudahan pengunjung

Terdapat pelbagai jenis penginapan boleh didapati di sini yang terdiri dari sembilan unit chalet pelbagai jenis, asrama, dan chalet VIP selain dilengkapi kemudahan dewan, restoran terapung serta sewaan bot yang turut disediakan bagi kemudahan pelancong berkunjung ke sini.

Destinasi ini juga popular dalam kalangan pemancing untuk menangkap pelbagai jenis ikan seperti Siakap dan Sembilang.

Manakala pelantar pejalan kaki sepanjang 500 meter yang dibina mengelilingi kawasan paya bakau turut memudahkan pengunjung untuk mengenali serta mempelajari ekosistem pokok bakau yang terdapat di sini.

Bagi aktiviti menyusuri sungai, para pengunjung yang berminat boleh menyewa bot dengan kadar bayaran yang berpatutan.

Abd Kamal Abd Rahman menunjukkan jeti tempat pelancong menaiki bot menyusuri sungai

Abd Kamal Abd Rahman menunjukkan jeti tempat pelancong menaiki bot menyusuri sungai

Wan Zaili Wan Taha, 61, yang merupakan ahli lembaga koperasi Kampung Belukar Durian menyatakan bahawa setiap bot boleh memuatkan antara lapan hingga 10 orang.

“Mereka akan dibawa menikmati keindahan flora dan fauna yang terdapat di sepanjang sungai ini sehingga ke muaranya di Kampung Sedili Kechil.

“Para pengunjung juga boleh memilih untuk singgah ke Pusat Ternakan dan Penetasan Belangkas yang terdapat di sana dan kemudian balik semula ke sini,” katanya.

Kepada para pelancong yang gemarkan suasana kampung sambil dikelilingi alam semulajadi dengan suasana yang menenangkan minda, tempat ini harus menjadi salah satu persinggahan.

Antara chalet yang terdapat di The Wetlands Belukar Durian

Antara chalet yang terdapat di The Wetlands Belukar Durian

Setiap kunjungan pastinya berbaloi di samping dapat merancakkan industri pelancongan desa yang terdapat di sini.

EM

Tinggalkan komen anda