Skip to main content
HomePulau Pinang

Sukan MuayThai Harumkan Nama Malaysia

By 26 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman/Ariza Mohamed Zaki (Seberang Perai Utara)

TASEK GELUGOR, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Atlet remaja Pulau Pinang mengharumkan nama negara di kejohanan MuayThai 2019 yang berlangsung di Bangkok baru-baru ini.

Kejohanan yang berlangsung pada 12 hingga 20 Mac lalu anjuran ‘World MuayThai Federation’ (WMF) kali ke 16 melibatkan seramai 60 buah negara dari seluruh dunia.

Seramai sembilan atlet Malaysia berusia antara 14 hingga 18 tahun terlibat dalam sembilan ketegori dipertandingkan dan peserta yang terpilih setelah melepasi ujian saringan di negeri Perlis pada 16 dan 17 Februari yang lalu.

Dalam kejohanan yang berlangsung, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Air Tawar, Muhammad Alif Mohd Azizi, 15, memenangi kategori kadet 45 hingga 48 kilogram dengan menewaskan peserta dari Uzbekistan dalam dua set pertarungan.

Kemenangan Alif melayakkan dua pingat emas setelah kemenangannya dicabar oleh peninju dari negara India berusia 24 tahun seterusnya memenangi kejohanan ketegori terbuka dan kemenangan ini bukan sahaja mengangkat nama negeri malahan juga negara ke persada antarabangsa buat julung kalinya.

Alif (kiri) dan Adam (tengah) bersama ayahnya Mohd Azizi Bakar

Alif (kiri) dan Adam (tengah) bersama ayahnya Mohd Azizi Bakar

Alif kelihatan tidak gugup langsung bertemu pihak lawan meskipun bersaiz lebih besar darinya kerana dengan segala pengalaman dan teknik yang betul, dia yakin dapat menumbangkan pihak lawannya.

“Saya bersyukur kerana penyertaan pertama kali telah membuahkan hasil dan menjadi detik manis dalam kehidupan saya,” demikian ujar Alif ketika ditemui di rumahnya yang tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai untuk bertemu dengan jaguh atlet remaja MuayThai Malaysia ini.

Sementara itu, pemenang pingat Perak dan Naib Juara Dunia bagi ketegori 54 dan 57 kilogram, Muhammad Adam Mohd Azizi, 17, yang merupakan abang kepada Alif turut berkongsi kisah pembabitannya dalam seni mempertahankan diri.

Adam berkata pada usia 14 tahun, bapanya Mohd Azizi Bakar, 54, telah menghantarnya dan Alif ke kelas tomoi dan tinju pada setiap hujung minggu.

‘Saya mula berjinak untuk mempelajari teknik muaythai secara serius apabila ayah mendorong dan memberikan semangat untuk meneruskan usaha dalam memperkenalkan sukan baru seperti MuayThai.

Antara koleksi pingat yang berjaya dimenangi oleh kedua remaja ini

Antara koleksi pingat yang berjaya dimenangi oleh kedua remaja ini

“Sukan dan seni mempertahankan diri ini banyak mengajar saya menjadi lebih disiplin, berani menghadapi segala cabaran dan tidak mudah berputus asa,” ujarnya.

Mohd Azizi yang merupakan ayah kepada dua atlet ini merupakan pesara askar dan sering mengingatkan anak-anaknya bahawa untuk berjaya, perlunya pengorbanan dan komitment yang besar.

Namun demikian, walaupun sibuk dengan latihan dan persediaan kejuaraan muaythai, Mohd Azizi menasihatkan anak-anaknya tetap mengutamakan pelajaran memandangkan keduanya akan menduduki peperiksaan utama pada tahun ini.

 

EM

Tinggalkan komen anda