Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Autisme Juga Mampu Berjaya

By 3 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Fasharina Kholil/PDK Nur Jannah Felda Teloi (Sik)

SIK, 3 Apr (Malaysiaaktif) – Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut pada 2 April setiap tahun dengan tema “Light It up Blue” dilihat berjaya memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar lebih peka terhadap keadaan pesakit autisme.

Autisme merupakan gangguan perkembangan seseorang individu yang berkaitan dengan masalah hubungan sosial, komunikasi, perubahan emosi, kurang kebolehan berimaginasi dan bermain malah anak autisme akan menunjukkan tingkah laku terhad dan berulang, lebih-lebih lagi berkaitan minat, aktiviti dan perangai.

Pelatih PPDK Nur Jannah Felda Teloi, berpakaian biru sebagai tanda sokongan kepada kempen kesedaran autisme yang disambut pada 2 April setiap tahun.

Pelatih PPDK Nur Jannah Felda Teloi, berpakaian biru sebagai tanda sokongan kepada kempen kesedaran autisme yang disambut pada 2 April setiap tahun.

Menurut Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Nur Jannah Felda Teloi, Nur Fadliah Saidin, autisme bukanlah sejenis penyakit seperti yang disangkakan oleh segelintir masyarakat.

“Autisme merupakan satu sindrom dan masyarakat tidak memahami apa itu sebenarnya sindrom tersebut kerana kebanyakan kanak-kanak yang menghadapinya kelihatan normal seperti kanak-kanak biasa.

“Ianya tidak boleh dirawat tetapi pengidap autisme merupakan golongan istimewa yang memerlukan pelbagai intervensi, program dan pengurusan yang khusus dan istimewa untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran,” katanya ketika ditemui sempena sambutan tersebut, semalam.

Pengidap autisme juga berpotensi untuk berjaya dari segi intelek mahupun pembelajaran sama seperti insan normal yang lain.

“Mereka juga boleh menjalani kehidupan lain seperti bekerja dan mempunyai keluarga, sekiranya dibantu dengan intervensi khusus sejak diperingkat awal lagi.

“Meskipun demikian, hakikatnya masih ramai lagi masyarakat di luar sana yang salah tanggapan terhadap golongan ini seperti cacat mental, tidak boleh dikawal serta merbahaya kepada orang lain. Lebih menakutkan ia bukan sahaja wujud dalam kalangan masyarakat setempat malah ahli keluarga sendiri mempunyai persepsi negative terhadap mereka, dan persepsi ini perlu diubah segera,” katanya lagi.

Menurut Fadliah lagi, sambutan Hari Kesedaran Autisme ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kekurangan yang dihadapi sekaligus memberi sokongan moral kepada insan istimewa ini.

“Stigma dan persepsi masyarakat perlu diubah agar mereka tidak lagi merasa takut untuk mendampingi atau bersama golongan ini, sebarkan kasih sayang serta tingkatkan kesedaran kepada pendidikan awal buat kanak-kanak autism,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda