Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Batik Cotton Legasi Dua Generasi

By 3 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/Fota: Wee Kim Been (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 3 Apr (Malaysiaaktif)Batik cotton atau poplin dan viscosen adalah sejenis material kain yang menjadi kesukaan masyarakat Tiong Hwa secara turun temurun. Pakaian tradisi seperti cheong sam dan kebaya nyonya banyak diperbuat daripada material ini dan seringkali diperagakan semasa musim perayaan, majlis rasmi serta majlis keramaian.

Permintaan terhadap material ini sentiasa ada dan berterusan kerana keunikan dan kreativiti pengusaha menggabungkan unsur tradisional dengan corak batik yang universal menjadikan material ini mendapat pertambahan permintaan dari masa ke semasa.

Kini konsep batik cotton mula menular dan digemari dalam kalangan masyarakat Malaysia tanpa batasan kaum dan umur.

Menurut Sherly WT Pang, 44, perusahaan batik ini dicetuskan oleh ayahnya Pang Kon Lin di Kampung Kok Pasir, di sini sejak dahulu lagi.

Bermodalkan RM 10,000 melalui Skim Pinjaman Mikro Kredit (SPMK) di bawah tawaran kerajaan pusat melalui Bank Simpanan Nasional dan dijalankan secara kecil-kecilan bagi memenuhi permintaan masyarakat setempat.

Kilangnya terpaksa ditutup 10 tahun yang lalu disebabkan tapak tersebut diambil balik oleh kerajaan negeri untuk aktiviti pembangunan.

Pang Kon Lin, menunjukkan hasil keluaran corak kain batiknya

Pang Kon Lin, menunjukkan hasil keluaran corak kain batiknya

Bagi meneruskan aktiviti perniagaan ini agar tidak ditelan zaman dan permintaannya yang semakin berkembang baik, beliau bersama bapanya telah berganding bahu meneruskan perniagaan ini.

“Kami mengambil inisiatif mengupah pengusaha-pengusaha batik yang berkebolehan serta berkualiti di seluruh Kelantan untuk mencetak batik tersebut bagi tujuan pasaran ke seluruh Malaysia dan negara seperti Singapura, Brunei, Filipina dan China,” ujar Sherly.

Menurut Sherly lagi, semua kain cotton diimport dari Indonesia dan India manakala bahan seperti lilin, damar dan sodium silicate, bahan penahan luntur warna kain diimport dari China.

“Kelebihan batik cotton ini ialah dibuat dengan hasil tangan secara tradisional sepenuhnya, ukirannya tersendiri, berunsurkan keindahan alam semula jadi dan mengenai corak kehidupan masyarakat hari ini.” Tambahnya.

Sherly kini mampu berbangga apabila perniagaan legasi keluarga yang diusahakannya ini meraih purata pendapatan melebihi RM78 000 sebulan dengan jualan yang melebihi RM3000 sehari.

“Perniagaan ini juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada sebilangan wanita dan belia di sini, sekarang saya mempunyai lapan orang pekerja di premis perniagaan ini.

“Sebagai pelapis generasi kedua perniagaan batik cotton ini saya berhasrat untuk komesialkan produk perusahaan legasi keluarga ini sehingga ke peringkat antarabangsa dan seluruh pelusuk dunia suatu hari nanti,” katanya lagi.

Pekerja Sherly, Rahman Salleh, 56, mula menyertai syarikat ini sejak 15 tahun lalu menjelaskan produk kain cotton ini cukup selesa dan sesuai dipakai oleh semua peringkat usia tanpa mengira waktu dan ketika di semua majlis keraian.

Batik cotton dan Span ini turut mendapat pengiktirafan daripada pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kelantan (JKKN).

-NAZ

Tinggalkan komen anda