
Laporan/ Foto : Nur Shafira Bt Mat Hussin (Pasir Puteh) / Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kelantan
PASIR PUTEH, 20 Apr (Malaysiaaktif) – Keghairahan mengaut hasil laut perairan Malaysia telah mengundang risiko kepada empat nelayan Vietnam kerana ditangkap oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan.
Sebuah bot nelayan asing bersamaan empat nelayan termasuk tekong warga Vietnam yang menceroboh perairan Kelantan ditahan sewaktu cuba menangguk dan menyeludup gamat keluar dari perairan negara semalam.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata pihaknya telah menerima maklumat daripada Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim (BKPM) Ibu Pejabat dan segera mengarahkan Bot Maritim Malaysia untuk membuat rondaan di lokasi tersebut.
“Bot nelayan ini cuba melarikan diri apabila ternampak bot penguatkuasa, namun mereka berjaya ditahan pada jarak lebih kurang 56 batu nautika atau 103 kilometer dari Muara Tok Bali, Pasir Puteh pukul 12.28 tengah hari semalam oleh Bot Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Ops Damai,”jelasnya.
Hasil pemeriksaan APMM mendapati kesemua empat nelayan yang ditangkap berusia di antara 27 hingga 55 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Dalam pada itu juga, anggota penguatkuasa juga menemui peralatan tangguk besi yang digunakan untuk menangkap gamat yang mana penggunaannya dilarang kerana boleh merosakkan batu karang dan kawasan pembiakan ikan.
Aset rampasan termasuk bot berserta gamat dan peralatan menangguk dianggarkan bernilai RM65, 000.
“Bot, tekong dan nelayan dibawa masuk ke Jeti Maritim Malaysia Negeri Kelantan di Tok Bali untuk siasatan lanjut dan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM 1 juta bagi pemilik dan tekong, manakala bagi awak-awak pula tidak melebih RM100, 000 seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan,” tegas Ismail Hamzah.
Statistik daripada APMM Negeri Kelantan bagi tahun 2018 mencatatkan lebih 40 kes penangkapan melibatkan pelbagai kesalahan di perairan negara yang terdiri daripada tangkapan bot nelayan tempatan dan nelayan asing.
Antara faktor yang menarik minat nelayan asing untuk menceroboh perairan negara adalah berikutan hasil laut yang masih banyak dan pelbagai.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan perairan negara berada dalam keadaan selamat dan terkawal.
Ismail juga menyeru agar nelayan tempatan serta masyarakat setempat dapat memberikan kerjasama dan sokongan untuk melaporkan sebarang salah laku yang berlaku di perairan negara menerusi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-7780070.