Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuan

Guru Sentiasa Istimewa Di Hati Semua

By 19 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus

LABUAN, 19 Apr (Malaysiaaktif) – Guru sentiasa berada di tempat yang istimewa di hati semua atas sumbangan bakti yang tidak ternilai.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Raisin Saidin, Sejak 1972, tanggal 16 Mei disambut saban tahun untuk  semua pihak memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada seluruh warga pendidik.

“16 Mei disambut bagi tujuan mengenang jasa bakti dan pengorbanan para guru dalam mencurahkan ilmu dan kesungguhan memberi tunjuk ajar mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara.

“Guru memikul satu tanggungjawab yang besar dalam memupuk perpaduan serta mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan negara melalui sistem pendidikan.

Raisin semasa menyampaikan ucapan perasmian

Raisin semasa menyampaikan ucapan perasmian

“Guru jugalah yang menggilap potensi murid untuk memastikan setiap murid mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, mengamalkan nilai-nilai murni serta bersedia dalam menghadapi cabaran masa kini,” katanya.

Selain itu, katanya sambutan pada tahun ini bertujuan untuk meraikan kejayaan dan sumbangan guru dalam membentuk serta melahirkan murid yang cemerlang selaras dengan aspirasi pendidikan.

“Sungguhpun jasa dan bakti guru sukar untuk dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan.

“Dalam konteks ini, pelbagai anugerah dan penghargaan dalam perkhidmatan telah dirangka oleh pihak Kementerian untuk mempertingkatkan profesionalisme keguruan termasuklah mempromosi kejayaan guru di dalam dan di luar negara,” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu Peringkat Negeri sempena sambutan Hari Guru Tahun 2019, pagi tadi.

Persembahan deklamasi sajak khas hari guru

Persembahan deklamasi sajak khas hari guru

Jelasnya, Jabatan Pendidikan Negeri Labuan amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh semua warga pendidik terhadap usaha dan inisiatif dalam memartabatkan pendidikan negara.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memajukan pendidikan di Malaysia melalui pembudayaan amalan pendidikan yang berteraskan kegembiraan, kasih sayang dan saling hormat-menghormati dalam membangunkan sahsiah ke arah kemenjadian murid.

“Program Ziarah Cakna misalnya cukup bermakna kerana ia memperkukuh hubungan antara sekolah dengan ibu bapa melalui amalan ziarah guru ke rumah murid untuk bertanya khabar ibu bapa mahupun penjaga,” jelasnya.

EM

Tinggalkan komen anda