Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Hari Tanpa Beg Plastik di Kedah Berkuatkuasa Hari Ini

By 1 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Norulhuda Mohd (Kota Setar)

ALOR SETAR, 1 April (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri akan memulakan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” yang akan dilaksanakan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu untuk mengurangkan penggunaan plastik mulai hari ini.

Dasar baharu ini turut meliputi penggunaan penyedut minuman plastik dan kotak polisterin.

Menurut Exco Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Negeri Kedah Ooi Tze Min, langkah ini merupakan inisiatif pro-aktif dalam membimbing rakyat supaya mengamalkan gaya hidup mesra alam.

Tze Min ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Tze Min ketika menyampaikan ucapan perasmian.

“Kempen ini melibatkan semua premis perniagaan yang berdaftar seperti pasaraya hypermarket, pasaraya besar, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak dan kedai-kedai rangkaian.

“Setiap premis perniagaan yang terbabit wajib mendaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana setiap premis berdaftar akan diberikan Sijil Penyertaan Premis untuk membuat kutipan 20 sen bagi setiap helai beg plastik yang dibekalkan di kaunter bayaran pada setiap hari Jumaat dan Sabtu,” katanya ketika merasmikan Majlis Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Negeri Kedah, di sini hari ini.

Tze Min turut menjelaskan kutipan terkumpul bagi penggunaan beg plastik di premis perniagaan yang terlibat perlu diserahkan kepada PBT di daerah premis perniagaan itu beroperasi dan kutipan yang diterima akan digunakan bagi tujuan program-program kebajikan masyarakat di daerah masing-masing.

“Para perniaga dan pengusaha pasaraya hendaklah menggalakkan serta memperkenalkan beg alternatif (beg bio) yang boleh digunakan semula bagi menggantikan beg plastik.

“Semua premis perniagaan yang terlibat juga, wajib memasang notis pemberitahuan “Tak Nak Straw dan Polisterina” di kaunter kedai makan, penjaja statik dan bergerak serta premis yang berkaitan,” tambahnya.

Selain meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan menjaga alam sekitar, kerajaan negeri komited dengan mengambil langkah inisiatif untuk menghentikan penggunaan beg plastik dan polisterin di semua majlis rasmi dan bangunan kerajaan.

-SH

Tinggalkan komen anda