Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

JaPen Dekati Belia Melalui Sukan Lasak

By 29 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto : Fadli Muhamad (Tumpat)

TUMPAT, 28 Apr (Malaysiaaktif) – Kepelbagaian platform dengan mengenalpasti kecenderungan dan minat audiens merupakan strategi pemasaran maklumat yang diaplikasikan oleh Jabatan Penerangan Negeri Kelantan.

Bagi menarik minat golongan belia yang terlibat dengan sukan lasak permotoran, Pejabat Penerangan Daerah Tumpat dengan kerjasama Team Motocross Tumpat telah menganjurkan Kejohanan Motocross Endurance Cross bagi mengembangkan lagi medium pemasaran maklumat kepada masyarakat umum, khususnya golongan belia.

Acara sukan lasak ini telah melibatkan seramai 50 peserta yang terdiri daripada belia merangkumi Daerah Tumpat, Bachok, Kuala Krai, Pasir Puteh, Kota Bharu, Gua Musang, Jeli dan Machang.

Program sehari ini bermula pada pukul 8.00 pagi dengan kehadiran pengunjung seramai 900 orang.

Menurut salah seorang peserta sukan ekstrim, Azmir Mustafa, 39, program sebegini amat dialukan terutamanya oleh golongan belia kerana di samping menyertai dan menyaksikan acara, mereka juga boleh mendapat input penting berkaitan dasar semasa kerajaan.

Sufian Bin Azim, Pemenang Kategori MX Motocross sempena Kejohanan yang di anjurkan

Sufian Bin Azim, Pemenang Kategori MX Motocross sempena Kejohanan yang di anjurkan

“Saya berharap program sebegini dapat diadakan lagi secara berterusan kerana memberi banyak manfaat terutama bagi golongan belia untuk mengisi masa dengan aktiviti yang sihat dan berfaedah,” ujar Azmir.

Abdul Jalil Seman, 43, salah seorang pengunjung berkata sukan lasak amat digemari oleh golongan belia di sini namun kurang mendapat pendedahan dan pertunjukan secara langsung sebegini termasuk juga dengan persembahan dikir barat.

Fadli Muhamad, 43, Pegawai Penerangan Daerah Tumpat, dalam ucapannya berkata program sebegini akan dijadikan platform bagi Jabatan Penerangan menyampaikan dasar-dasar kerajaan di kawasan luar bandar tanpa mengira fahaman politik, sosio ekonomi dan taraf pendidikan.

Pengunjung dapatkan poster dan bahan penerbitan yang di edarkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Tumpat.

Pengunjung dapatkan poster dan bahan penerbitan yang di edarkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Tumpat.

Program ini turut disertakan dengan sesi slot ceramah berkaitan dengan dasar kerajaan dan penjelasan berkaitan isu semasa seperti jenayah siber, Tabung Haji, Kertas Putih Felda, Perpaduan, Perlembagaan dan Keselamatan.

Pada sebelah pagi diadakan acara pertandingan MX bagi Kategori Motocross, Kategori CubCross dan CKD manakala pada sebelah petang pula berlangsungnya acara Kejohanan Endurance terbuka (Motocross dan Cubcross serta CKD).

Program ini juga diselitkan dengan persembahan dikir barat bagi mengisi slot waktu malam, membawa mesej-mesej berkaitan pembangunan dan dasar-dasar kerajaan yang disampaikan melalui lagu dikir barat dan dilihat berjaya menarik minat golongan belia sekaligus menyampaikan mesej secara bersemuka dengan lebih jelas.

Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, Lim Ann Teck dan sesi ceramah telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) dan Pegawai Penerangan Daerah Tumpat.

-NAZ

Tinggalkan komen anda