Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Pembentukan Sahsiah Diri Bermula Dengan Pengamalan Ibadah di Peringkat Awal

By 29 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/Foto : Mohd Zamri Abdullah (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 28 Apr (Malaysiaaktif) – Kepercayaan kepada Tuhan merupakan salah satu prinsip Rukun Negara yang menjadi teras kepada ideologi nasional.

Ini jelas menggambarkan bahawa agama merupakan satu pegangan dan keperluan atau ‘way of life’ kepada manusia dan setiap warga Malaysia khasnya.

Semua agama menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran dan mempunyai kaedah tersendiri yang khusus dalam aplikasi atau ibadahnya.

Bagi penganut agama Islam, solat merupakan ibadat penting dan menjadi paksi utama keimanan seseorang mukmin dan wajib ditunaikan walau dalam apa keadaan sekali pun kecuali mati.

Untuk mewujudkan kesedaran tentang solat maka pendidikan peringkat awal khususnya di usia muda sangat perlu kerana di usia sebegini ilmu mudah diterima dan difahami.

Menyedari hakikat itu, Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan (JHEIK) dengan kerjasama Masjid Al-Rahman, Kampung Temesu Limbat Kota Bharu telah menganjurkan Program Membina Generasi Solat.

Proram ini telah bermula pada awal bulan April yang lalu dan dijangka akan berakhir pada bulan Oktober nanti.

Penyertaannya terbuka kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan peserta tidak dikenakan sebarang bayaran sepanjang mengikut program tersebut.

Ustaz Asraff Yaacob, Guru Pembimbing sedang menyampaikan ceramah kepada peserta

Ustaz Asraff Yaacob, Guru Pembimbing sedang menyampaikan ceramah kepada peserta

Guru Pembimbing, Ustaz Asraff Yaacob, 35 berkata program ini bertujuan untuk membina dan membentuk generasi muda agar celik solat dan menyedari hakikat serta tanggungjawab manusia terhadap penciptanya.

“Anak- anak perlu diasuh ketika muda lagi agar tidak mudah leka dan terjebak dengan budaya atau melakukan kerja yang tidak berfaedah,” katanya lagi.

Manakala Imam Muda Masjid Ar-Rahman, Kampung Temesu, Abdullah Abdul Rahman, 73, merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih masjid ini sebagai tempat untuk menyampaikan ilmu, secara tidak langsung skop dan peranan masjid diperluas dan tidak hanya dijadikan tempat ibadat semata-mata.

“Penglibatan kanak-kanak dalam program ini bukan sahaja dapat menambah ilmu pengetahuan malahan boleh melatih kanak-kanak untuk mendekatkan diri dengan masjid serta boleh mengimarahkan masjid,” tambahnya lagi.

“Kanak-kanak akan lebih dekat dengan masjid dan boleh mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti negatif seperti melayari internet bermain ‘game’ dan sebagainya,” tegasnya.

Manakala salah seorang bapa kepada peserta, Nik Jailani Nik Mat, 48, berharap agar ilmu tentang solat yang dicurahkan oleh guru pembimbing setiap minggu ini dapat dijadikan bekalan kepada anak-anak untuk menunaikan tanggungjawab mereka dalam mengerjakan solat.

“Saya amat terharu dengan penganjuran program yang amat bermakna ini dan ianya seiring dengan tuntutan agama dalam mendidik kanak-kanak untuk menunaikan solat di peringkat awal,” katanya lagi.

Program Membina Generasi Solat yang bermula pada pukul 3.00 petang hingga 4.00 petang setiap hari, disertai seramai 50 orang peserta.

Mereka diwajibkan menunaikan solat Asar sebelum balik ke rumah masing-masing sebagai latihan amali.

Makanan juga disediakan kepada semua peserta sebaik sahaja selesai program.

-NAZ

Tinggalkan komen anda