
Laporan/foto: Ahmad Faiz Mansur (Barat Daya)
BAYAN LEPAS, 27 Apr (Malaysiaaktif) – Karnival Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2019 yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 April 2019 mendapat sambutan luar biasa, Karnival sedang berlangsung di Tapak Parkir, Pasaraya Queenbay Mall.
Karnival Kempen Beli Barangan Malaysia merupakan inisiatif serampang dua mata KPDNHEP yang bertujuan memartabatkan usahawan tempatan dan membantu rakyat menangani kos sara hidup. Penganjuran karnival bertemakan ‘Beli Barangan Buatan Malaysia’ ini akan dapat membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka selain mempromosikan pelbagai jenis produk buatan tempatan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ribuan pengunjung yang hadir pada majlis Peramian Karnival Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang
Karnival ini dirasmikan oleh Yang Berhomat Datuk Seri Saifuddin Nasution Bin Ismail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan turut dihadiri Yang Berhormat Sim Tze Tsin, Timbalan Menteri Pertanian Malaysia dan Yang Berhormat Datuk Haji Abdul Halim Bin Hussain, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Bin Ismail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika ucapan perasmian
Yang berhormat Menteri dalam ucapannya berkata, pihak Kementerian di bawah jagaannya sentiasa mencari kaedah dan inisiatif untuk menurunkan harga barangan keperluan harian misalnya pihak kementerian telah berusaha mengimport bekalan kelapa dari Indonesia kerana harganya jauh lebih murah daripada harga kelapa di negara ini. Kerajaan juga ada mengimport cili dari Vietnam untuk menampung keperluan bekalan cili di negara ini.
Selapas upacara perasmian, Yang Berhormat Menteri dan dif kehormat melawat di setiap ruang pameran di perkarangan tapak karnival. Beliau juga sempat membuat jualan murah “Happy Hour” dengan pelbagai barangan di jual dengan harga yang sangat istimewa dan murah berbanding harga biasa. Antara barangan jualan murah seperti pek kombo RM5 terdiri dari tiga barang iaitu gula, tepung dan minyak masak.