Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala Lumpur

Kira-Kira 1.6 Juta Dekoder MYTV Diedar – Eddin Syazlee

By 30 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 30 April (Malaysiaaktif) – Sebanyak 1.6 juta unit dekoder percuma MYTV telah diedar MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) daripada matlamat dua juta penerima yang layak sehingga kini, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata penerima dekoder percuma ini dipilih daripada senarai Bantuan Sara Hidup Rakyat (BHSR) terutama golongan isi rumah B40.

Mengenai siaran myFreeview yang dipancarkan melalui decoder berkenaan, beliau berkata ia telah mencapai liputan 98 peratus di kawasan berpenduduk, namun tidak menafikan kadangkala ia menghadapi gangguan siaran seperti mana siaran TV berbayar.

“Berkenaan gangguan siaran ini, perlu kita faham, syarikat stesen TV berbayar seperti Astro pun (ada kalanya) mengalami masalah teknikal, inikan cuma syarikat yang memberi siaran secara percuma, tiada bezanya. MYTV telah memberi mutu perkhidmatan terbaik, sebahagian daripada tanggungjawab mereka,” katanya pada sesi Soal Jawab, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdullah Salleh yang bertanyakan antara lain mengenai masalah gangguan siaran myFreeview.

Perkhidmatan TV digital terrestrial di bawah penjenamaan myFreeview ini adalah satu inisiatif kerajaan yang diberi secara percuma kepada rakyat, dikendalikan syarikat MYTV secara ‘private sector funding’.

Dalam perkembangan lain, menjawab soalan Senator Datuk Rabiyah Ali yang ingin tahu mengenai status terkini pelaksanaan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), Eddin Syazlee berkata sehingga akhir tahun lepas, lebih 6,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan telah menyertai pelbagai program inisiatif DFTZ, sejak diperkenalkan pada 2017.

DFTZ adalah inisiatif strategik yang bertujuan untuk meningkatkan eksport PKS tempatan ke luar negara serta menjadikan Malaysia sebagai hab Fulfilment e-Dagang serantau. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda