Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Kisah Rentetan Sejarah Pasir Salak Juarai Pengisahan Kenegaraan WPKL

By 21 April 2019Tiada komen1 minit bacaan
 Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Nornisah Khairoji (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 21 Apr (Malaysiaaktif) – Kumpulan Adiwira yang menjiwai pengisahan penentangan Melayu Pasir Salak terhadap Residen British pertama di Perak, J.W.W. Birch berjaya meraih gelaran Johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang berlangsung semalam.

Adiwira yang mengetengahkan kisah dan tokoh-tokoh sejarah yang memperjuangkan bangsa menentang penjajahan British pada tahun 1875 berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000, piala pusingan, sijil penyertaan serta hadiah iringan.

Manakala naib johan disandang Kumpulan Citradaksina manakala tempat ketiga dimiliki Kumpulan Gerak Pertiwi yang masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 dan RM1,500.

Pertandingan bertemakan hari kebangsaan ini bertujuan menyemai dan menyuburkan semangat integrasi nasional serta semangat patriotik dalam kalangan masyarakat melalui teknik penceritaan dan seni lakonan mengenai rentetan sejarah dan perjuangan tokoh-tokoh negara dahulu.

Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan WPKL ini merupakan sebahagian daripada pengisian Program Sepakat – Malaysiaku Harapanku yang diadakan dari 19 hingga 21 April di pusat membeli belah di Wangsa Maju.

Program tiga hari ini juga turut menghimpun Pameran Kenegaraan melibatkan enam jabatan/agensi antaranya Jabatan Penerangan Malaysia, Pusat Maklumat Rakyat Jabatan Penerangan WPKL, dan Pos Malaysia.

Selain karikatur, Pertandingan Bintang Patriotik yang mencungkil bakat masyarakat turut diadakan.

-SH

Tinggalkan komen anda