Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Modifikasi Café Racer Jana Kreativiti dan Sumber Ekonomi

By 30 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Rosli Md Zin (Bachok)

BACHOK, 30 Apr (Malaysiaktif)Café racer merupakan motosikal biasa yang ‘dibogelkan’ bagi tujuan perlumbaan untuk mengurangkan berat jentera.

Fenomena motosikal café racer masih baru di negara ini, di mana ianya mula terkenal di England ketika era 1950 dan 60-an dan kini mula berkembang di negara ini.

Menyahut saranan kerajaan yang menggalakkan sukan permotoran ke satu tahap yang lebih tinggi, Ahmad Zulhilmi Mohamad,33, menjadikan hobi ini bukan sahaja sebagai satu kepuasan diri malah boleh dijadikan sumber pendapatan kepada yang berkemahiran.

Antara Aktiviti Kelab "Chabuk Riders" Tungangan ke Tasik Kenyir

Antara Aktiviti Kelab “Chabuk Riders” Tungangan ke Tasik Kenyir

“Minat dalam pembikinan atau modifikasi café racer ini bermula dari tahun 2014 lagi dan pada tahun 2017 saya berjaya memiliki motosikal jenama KTNS gp125 dengan melakukan pengubahsuaian sedikit demi sedikit secara berperingkat.”

“Pengubahsuaian itu tidak dilakukan secara sendirian tetapi mendapat bantuan daripada seorang rakan mekanik yang melakukan kerja pengubahsuaian di bengkelnya,” ujarnya.

Oleh kerana minat yang mendalam terhadap café racer, beliau telah menubuhkan kelab motosikal “Chabuk Riders” yang terdiri daripada 64 orang ahli dari pelbagai latar belakang.

Zulhilmi bersama motosikal kesayangannya

Zulhilmi bersama motosikal kesayangannya

“Penubuhan kelab ini adalah untuk mengajak anak-anak muda yang mempunyai minat yang sama supaya tidak terlibat dalam gejala negatif sebaliknya menyemai gaya hidup lebih sihat dengan menunggang secara riadah pada hari cuti,” jelas Zulhilmi.

“Mesej yang ingin kami sampaikan, tidak semua ahli kelab motosikal mempunyai sikap buruk dan tidak beradab seperti yang digambarkan dalam filem-filem yang ditayangkan di televisyen,” katanya lagi.

Menurut Zulhilmi, belanja pengubahsuaian sesebuah motosikal biasanya bermula dari RM1000 hingga ke RM5000, malah ada yang mencecah sehingga RM10,000 ke atas bergantung kepada kehendak pemilik.

“Jenis-jenis motosikal model CG125 dan 110 keluaran Honda serta Yamaha RXS115 merupakan pilihan peminat ‘café racer’ kerana tidak perlu pengubahsuaian yang banyak.”

“Manakala model motosikal keluaran Malaysia seperti Jaguh juga menjadi pilihan peminat motor ‘custom’ kerana ketahanan enjin, namun kos pengubahsuaiannya boleh mencecah sehingga RM4000,” tambahnya lagi.

Menurut Zulhilmi, kini sudah banyak model motosikal ini yang dibina secara khusus oleh pengeluar dan dijual pada harga RM6000 hingga RM20,000 di pasaran Malaysia.

Model jaguh yang telah diubah suai menjadi "Trackker"

Model jaguh yang telah diubah suai menjadi “Trackker”

Beliau juga berkata kekurangan model baharu menyebabkan pasaran motosikal jenis ini menjadi hambar dan lembap berbeza dengan negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia yang mana kemasukan model baharu lebih rancak di negara mereka.

Seorang peminat tegar café racer, Tengku Aizamudin Tengku Yaakob,42, berkata peminat hobi ini sungguh bertuah kerana kemajuan teknologi dan akses internet yang disediakan kerajaan membolehkan peminat mendapatkan alat ganti dan aksesori secara mudah melalui pembelian dalam talian.

“Pembelian dalam talian menjadi keutamaan kepada peminat-peminat tegar café racer ini kerana alat gantinya lebih murah,” tambahnya lagi.

“Namun ada dalam kalangan peminat yang tidak suka menunggu lama, maka mereka lebih senang mendapatkan alat ganti dan aksesori di kedai yang sememangnya banyak di sini,” ujarnya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda