Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Sediakan Payung Sebelum Hujan: Satu Rumah, Satu Alat Pemadam Api

By 29 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/Foto: Mohd Suhaidi Bin Mat Jusoh (Kota Bharu)

PASIR MAS, 28 Apr ( Malaysiaaktif) – Musim kemarau yang panjang boleh menyebabkan kemungkinan yang tinggi berlakunya insiden kebakaran kepada hutan dan bangunan.

Sebagai langkah persediaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesyorkan setiap rumah mempunyai satu alat pemadam api bagi memadam kebakaran kecil di peringkat awal sebelum api merebak lebih besar lagi.

Alat ini mudah diperoleh di pasar raya dan kedai yang menjual peralatan elektrik atau kedai yang menjual barangan pembinaan. Ianya murah sekadar RM50 hingga RM200 bergantung kepada kuantiti dan isi kandung di dalamnya.

Namun disyorkan setiap rumah perlu mempunyai alat pemadam api seberat 9 kilogram kerana sesuai dengan kebakaran kecil di rumah.

Penduduk Tempatan bergambar dengan pegawai dan kakitangan  Jabatan Bomba Dan Penyelanat selepas program

Penduduk Tempatan bergambar dengan pegawai dan kakitangan Jabatan Bomba Dan Penyelanat selepas program

Tetapi perlu dipastikan terlebih dahulu jenis kebakaran dan alat pemadam api yang sesuai supaya kebakaran yang berlaku dapat dipadamkan dengan lebih berkesan.

Menurut Pegawai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Mas, Adenan Mohd Juri, 48, alat ini penting untuk memadam kebakaran kecil di peringkat awal, bahkan boleh menyelamatkan harta benda dari musnah dijilat api.

“Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan dan kebaikan alat pemadam api masih rendah, jika alat pemadam api ada di setiap rumah dan masyarakat tahu menggunakannya, kebakaran boleh dicegah awal,” ujar beliau ketika ditemui pada Program Hari Terbuka Jalur Lebar Bersama Bomba dan Masyarakat di Perkarangan Pusat Jalur Lebar Kampung Semubar, Chetok, Pas Mas, semalam.

Katanya lagi, namun begitu alat pemadam ini perlu diletakkan di tempat yang jelas kelihatan dan mudah diambil, jika berlaku kebakaran dan dalam tempoh setahun sekali alat pemadam api ini perlu diperiksa agar berfungsi dengan baik apabila hendak menggunakannya.

Seorang pesara kerajaan, Haji Saari Awang, 72, berkata selama ini beliau tidak tahu menggunakan alat pemadam api sehinggalah pihak bomba yang hadir hari ini memberi penerangan dan penjelasan kepentingan alat pemadam api.

“Baru hari ini saya dapat tahu betapa mustahaknya alat pemadam api ada di rumah, lepas ini bila berlaku kebakaran kecil, bolehlah pakcik menggunakan alat ini untuk memadam kebakaran,” katanya.

Pendapat ini disokong oleh seorang warga emas Haji Muhammad Nor, 70, beliau akan mendapatkan segera alat pemadan api selepas mendengar ceramah daripada pihak bomba.

“Rasanya tak sabar nak pergi beli, takut berlaku kebakaran, bolehlah padam dengan benda ini,” katanya yang juga Imam Masjid Beting Pauh, Chetok, Pasir Mas.

Selain ceramah kebakaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Mas, turut diadakan juga demonstrasi pemadaman kebakaran, pameran serta cabutan nombor bertuah dan dihadiri hampir 200 orang masyarakat tempatan.

Penganjur program, Amalina Abd. Majid, 26, berkata program ini berlangsung dari pukul sembilan pagi hingga satu tengah hari yang bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat setempat mengenai kebakaran.

Ianya satu platform dalam usaha mengeratkan lagi kerjasama di antara bomba dan masyarakat.

-NAZ

Tinggalkan komen anda