Skip to main content
HomeJohor

Saya Tidak Terkilan – Osman

By 16 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Najib Mohaini (Johor Bahru)

ISKANDAR PUTERI, 16 Apr (Malaysiaaktif) – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, beliau tidak rasa terkilan dalam isu peletakan jawatan Menteri Besar dan berasa yakin dengan kualiti yang terdapat pada Menteri Besar yang baharu, Dr Sahruddin Jamal.

Menurut Osman lagi, beliau juga sudi untuk memberikan pandangan dan khidmat nasihat kepada kepimpinan kerajaan negeri Johor yang baharu jika diperlukan.

Saya berharap kerjasama yang diberikan kepada saya ini akan terus diberikan kepada Menteri Besar yang baharu agar setiap aspirasi Kerajaan Negeri dapat direalisasikan. – Osman

Saya berharap kerjasama yang diberikan kepada saya ini akan terus diberikan kepada Menteri Besar yang baharu agar setiap aspirasi Kerajaan Negeri dapat direalisasikan. – Osman

“Dr Sahruddin merupakan seorang yang gigih selain kuat bekerja dan sebab itu saya melantik beliau sebagai setiausaha dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor.

“Beliau juga mempunyai sifat ingin belajar dan sering bertanyakan kepada saya mengenai perkara-perkara yang tidak difahami dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan,” katanya selepas menyempurnakan penyerahan tugas kepada Dr Sahruddin, di Pejabat Menteri Besar Johor, di Kota Iskandar, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk A. Rahin Nin.

Turut hadir, barisan EXCO termasuk Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan, S Ramakrishnan; serta Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse.

Osman Sapian

Osman Sapian

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan, Liow Cai Tung; dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Beliau turut mengingatkan barisan kepimpinan kerajaan negeri yang baharu agar terus fokus bekerja dan jangan terlampau mengambil kira isu-isu berkaitan polemik dari luar yang boleh mengganggu gugat prestasi kerja kerajaan.

“Walaupun manifesto 100 hari di bawah pentadbiran saya telah berjaya dipenuhi, kita masih ada empat tahun lagi untuk menunaikan janji manifesto lima tahun Pakatan Harapan.

“Salah satu daripadanya ialah untuk Kerajaan Negeri membina 100 ribu buah Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) dan satu juta unit rumah mampu biaya di seluruh Negara.

“Kalau boleh jangan sampai lima tahun, dua hingga tiga tahun ini sudah boleh kita penuhi manifesto tersebut,” katanya.

Dr Sahruddin Jamal

Dr Sahruddin Jamal

Beliau juga menjunjung kasih terhadap perkenan Sultan Johor atas pelantikan Dr Sahruddin Jamal sebagai Menteri Besar Johor dan mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti Pakatan Harapan serta seluruh barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan penjawat awam negeri yang telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang beliau menjadi Menteri Besar.

“Saya berharap kerjasama yang diberikan kepada saya ini akan terus diberikan kesinambungannya malah saya juga berharap kerjasama lebih baik dapat diberikan kepada Menteri Besar yang baharu agar setiap aspirasi kerajaan negeri dapat direalisasikan,” katanya.

Pada masa sama, Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal berkata, majlis penyerahan tugas ini adalah prosedur biasa bagi seorang penjawat awam.

“Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua lapisan masyarakat serta Datuk Osman Sapian sendiri yang telah bersama-sama mentadbir kerajaan negeri sebagai Menteri Besar Johor selama 11 bulan dan memastikan tugas di bawah pentadbirannya dapat dilaksanakan dengan jaya,” katanya.

EM

Tinggalkan komen anda