Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuanMA

773 Makanan Dirampas Jabatan Kesihatan Labuan Pada 2018

By 26 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus / Jeffrey Nian

LABUAN 26 Mei (Malaysiaaktif) – Sebanyak 773 bilangan makanan dengan nilai RM6,141 dirampas Jabatan Kesihatan Labuan pada tahun 2018 iaitu meningkat 75 peratus berbanding hanya 442 bilangan makanan bernilai RM3,012.66 pada 2017.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari, rampasan tersebut dibuat atas kesalahan penjualan makanan yang melepasi tarikh luput dan makanan telah rosak.

“Menjual makanan melepasi tarikh luput adalah suatu kesalahan di bawah Peraturan 14(9)(b) Peraturan-peraturan Makanan 1985, dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun.

“Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PKPM 2009) sebanyak 142 kompoun dikeluarkan sejak tahun 2015 sehingga April 2019 dengan nilai kompaun sebanyak RM98,400,” katanya semasa ditemui pada Ops Penjualan Makanan Sempena Perayaan Pesta Kaamatan, Gawai dan Hari Raya Aidilfitri 2019, kelmarin.

Ismuni (paling kanan) bersama pegawainya memeriksa makanan di sebuah pasaraya

Ismuni (paling kanan) bersama pegawainya memeriksa makanan di sebuah pasaraya

Sementara itu, operasi itu katanya dijalankan bagi memastikan makanan yang dijual di pasaran semasa musim perayaan adalah selamat dan berkualiti.

“Dengan kekuatan lebih daripada 30 anggota dan pegawai dari Jabatan Kesihatan Labuan, operasi turut melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Perbadanan Labuan.

“Tindakan penguatkuasaan iaitu pemeriksaan, sita, pelupusan, kompaun dan penutupan premis mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 akan diambil ke atas pengusaha-pengusaha, premis dan penjual makanan bagi memastikan kehendak Akta dan Peraturan dipatuhi,” jelasnya lagi.

Ismuni turut berharap pihak pengguna memainkan peranan yang penting iaitu bijak memilih makanan dengan menilai tahap kebersihan premis, pengendali makanan, kualiti dan keselamatan makanan yang dijual.

EM

Tinggalkan komen anda